Malaysia Dateline

Perhimpunan Agung Umno 2021 Januari depan

Perhimpunan Agung Umno 2021 akan diadakan pada tahun hadapan selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Januari 2022.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Jelasnya, mesyuarat itu turut memutuskan persidangan Umno Cawangan akan diadakan daripada 15 Oktober hingga 30 November ini.

“Mesyuarat Perwakilan Wanita Umno, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian pula diadakan secara serentak seluruh negara bermula 11 hingga 12 Disember.

“Bagi Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian, ia akan diadakan secara serentak seluruh negara pada 18 Disember ini,” kata Ahmad dalam satu kenyataan, hari ini.