Malaysia Dateline

Perhimpunan Agung UMNO 2022 tidak jemput parti lain

Tiada sebarang jemputan dikeluarkan kepada parti politik selain komponen Barisan Nasional (BN) dan Friends of BN untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang bermula Rabu ini. 

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perhimpunan kali ini juga tidak akan menjemput perwakilan asing kerana ingin menyelesaikan semua perkara yang berhubung kait dengan isu dalaman parti dan BN. 

“Setakat ini, itulah keputusannya melainkan jika ia berubah dalam sehari dua ini. Tidak menjemput bukan bermakna kita tidak berkawan tetapi kerana kita hendak menumpukan kepada isu dalaman parti, muhasabah dan sebagainya,” kata beliau.

Ahmad berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Penerangan Isu Semasa Terkini Negara di sini hari ini yang berlangsung secara tertutup dan dihadiri 1,309 pimpinan UMNO Pahang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan perubahan jemputan boleh berlaku bergantung kepada keputusan pimpinan tertinggi parti.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau belum menerima jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang akan diadakan dari 11 hingga 14 Jan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

— BERNAMA 

Baca juga : Ada formula untuk ‘gencatan senjata’ di Sabah – Zahid