Perhimpunan bantah ICERD berlangsung aman, peserta sekitar 55 ribu, kata Polis

Perhimpunan bantah ICERD berlangsung aman, peserta sekitar 55 ribu, kata Polis

Perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di sekitar Jalan Raja di sini hari ini berlangsung dalam suasana aman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan berkata dianggarkan 55,000 peserta hadir dan himpunan itu berjalan lancar dan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Katanya terdapat peserta yang membawa kanak-kanak ke perhimpunan itu dan ia menyalahi Akta Perhimpunan Aman 2012.

Tinjauan Bernama mendapati perhimpunan yang dijadualkan tamat 6 petang itu berakhir lebih awal susulan hujan di ibu negara petang ini.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir ialah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebelum ini, penganjur perhimpunan ini dilaporkan berkata perhimpunan itu diadakan sebagai tanda ‘kesyukuran’ di atas keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan konvensyen berkenaan dan seterusnya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 23 Nov lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

— BERNAMA