Perhimpunan bantah ICERD untuk lawan kerajaan PH

Perhimpunan bantah ICERD untuk lawan kerajaan PH
Namanya adalah Perhimpunan Membantah ICERD. Tidak ada salahnya untuk menyuarakan pendirian bagi penegasan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi.

Mereka yang menolak ratifikasi merentas semua parti politik. Para pendukung parti-parti Pakatan Harapan khususnya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara turut menolak ratifikasi ICERD.

Malah kerajaan Pakatan Harapan juga telah membuat keputusan tidak melakukan ratifikasi ICERD.

Walaupun perhimpunan itu dirancang lebih awal lagi untuk membantah cadangan itu. Namun apabila kerajaan sudah mengumumkan bahawa ia tidak akan meratifikasikan ICERD, sepatutnya rancangan untuk membuat perhimpunan itu tidak timbul lagi.

Sudah tidak ada keperluan untuk mebantah. Tetapi penganjurnya yang terdiri daripada Pas, Umno dan NGO Melayu tetap ahu meneruskan perhimpunan.

Maka diubahnya daripada perhimpunan bantahan kepada perhimpunan kesyukuran kerana mereka berasa mereka berjaya menghalang ratifikasi itu.

Tetapi kemudiannya mereka mengadakan program-program pra-perhimpunan yang kandungannya adalah bersifat memperjuangkan kepentingan Melayu. Nadanya pula bersifat menentang kerajaan dan Pakatan Harapan.

Maka disebutkan juga bahawa kehadiran dalam perhimpunan itu diwajibkan bagi orang Islam, dan khususnya pendukung Pas.

Nama program itu juga telah disebut sebagai Perhimpunan 812, iaitu mengambil sempena tarikh acara itu diadakan.

Ia pula diikuti dengan kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyeru penyokong-penyokongnya menghadiri perhimpunan itu.

Maka ternyata ia bukan soal ICERD dan kepentingan Melayu semata-mata tetapi merupakan perhimpunan memperagakan kekuatan politik.

Ia merupakan sebahagian daripada kempen pembangkang untuk mencabar kerajaan dan seterusnya menggembleng sokongan orang Melayu supaya akhirnya Umno dapat kembali berkuasa, bersama sokongan Pas dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana sejak kehilangan kuasa, kalangan Umno seringkali mengingatkan rakyat bahawa mereka dan Pas memiliki undi majoriti orang Melayu pada pilihan raya umum lalu.

Pakatan Harapan hanya meraih 25 peratus undi Melayu, maka majoriti pengundi Islam adalah beserta Umno-Pas.

Retorik ini dikaitkan pula pada konsep bahawa asas Malaysia adalah Tanah Melayu, dan Melayu adalah pemilik atau tuan pada Tanah Melayu.

Inilah garis hujah mereka yang turut disertai oleh Pas. Mereka tidak membezakan antara konsep Melayu dan Islam.

Jauh sekali mereka hendak mengambil peduli mengenai demokrasi, hak asasi manusia dan urus tadbir kenegaraan yang baik.

Sebab itu soal-soal korupsi, integriti, amanah dan skandal 1MDB tidak masuk dalam perkiraan mereka.

Ini kerana mereka disemai dengan rasa takut dan bimbang bahawa hak keistimewaan Melayu akan hilang dan Islam sudah tidak menjadi agama rasmi.

Mereka tidak melihat bahawa Pakatan Harapan itu diketuai dan digerakkan oleh orang Melayu Islam dari Bersatu, PKR dan AMANAH.

Mereka mahu orang Melayu menganggap bahawa Pakatan Harapan adalah dipimpin dan digerakkan oleh DAP.

Hinggakan ada pemimpin Pas yang berimaginasi bahawa majoriti Dewan Rakyat adalah orang bukan Islam. Sebab itu dirasakan bahawa perhimpunan itu diperlukan untuk menghalang ICERD.

Realitinya ialah jika orang Melayu hendak mengukuhkan kedudukannya di negara ini, mereka perlu meningkatkan sokongannya terhadap Pakatan Harapan.

Bila sokongan orang Melayu jauh lebih tinggi, maka bertambahlah suara serta kedudukan orang Melayu. Ini kerana yang memegang kuasa sekarang adalah Pakatan Harapan.

Selain itu, soal demokrasi, integriti dan urus tadbir baik adalah penting untuk rakyat secara umum. Jika tidak, negara ini hanya berkhidmat pada golongan kecil yang memperoleh kuasa.

Walaupun golongan kecil ini Melayu, tetapi tanpa demokrasi dan integriti, kepentingan majoriti orang Melayu akan terpinggir seperti apa yang berlaku selama ini.