Perhimpunan ICERD: Silakan berhimpun tetapi jaga keamanan

Perhimpunan ICERD: Silakan berhimpun tetapi jaga keamanan

Peserta perhimpunan aman bagi ‘kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara esok, diminta agar menjaga keamanan dan kebersihan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Mohamed Hanipa Maidin berkata setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan aman mengikut undang-undang negara, namun perhimpunan itu perlu dikawal supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi.

“Saya mengulangi apa dikatakan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad)…jika mereka mahu berhimpun, nak buat kesyukuran…itu hak mereka, janji jangan ada apa-apa tindakan provokatif.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua bertanggungjawab jaga keamanan. Memang dulu sewaktu kami (pihak pembangkang) berhimpun, kami akan ingatkan kepada pengikut supaya menjaga keamanan, kebersihan dan sebagainya,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan program Khatan Asnaf di sini malam ini.

Mohamed Hanipa turut mengingatkan pemimpin daripada pihak yang menyokong perhimpunan tersebut agar turut serta esok, dan tidak hanya membiarkan pengikut berhimpun.

“Kita harap jangan pengikut sahaja yang pergi (esok), pemimpin pun kena pergi,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Hanipa merasmikan program Khatan Asnaf dianjurkan parti Amanah Cawangan Kepala Batas bersama Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) yang disertai 40 kanak-kanak asnaf dari kawasan setempat.

Ketua Amanah Cawangan Kepala Batas, Ramli Omar berkata tujuan Amanah mengadakan program sedemikian adalah untuk membuka mata masyarakat bahawa perkhidmatan khatan sememangnya disediakan secara percuma oleh pihak kerajaan.

“Dengan pendekatan ini, kita harap masyarakat sedar bahawa perkhidmatan khatan ini memang disediakan percuma oleh pihak kerajaan. Selama ini ramai yang menggunakan perkhidmatan yang mengenakan bayaran kerana tidak tahu,” katanya.

Ramli berkata 40 kanak-kanak asnaf akan dibawa ke Hospital Kepala Batas esok untuk berkhatan manakala selebihnya akan dibawa pada tarikh ditetapkan pihak hospital kemudian.