Malaysia Dateline

Perhimpunan ikut undang-undang, seharusnya tiada tindakan dikenakan, kata Faiz

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil yang turut dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis, menyifatkan perhimpunan itu diadakan secara aman, terkawal dan mengikut undang-undang.

Disebabkan perhimpunan dijalankan secara aman, beliau berkata, seharusnya tiada sebarang tindakan dikenakan kepada sesiapa yang hadir.

“Namun panggilan ke balai polis hari ini adalah satu permulaan kepada episod hitam dalam demokrasi negara selepas kerajaan pintu belakang terbentuk. Ia juga tindakan menakut-nakutkan rakyat untuk tidak bangkit menentang kerajaan berkenaan.

“Berbeza sepanjang pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan iaitu rakyat bebas. Ada beberapa perhimpunan diadakan tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh pihak polis.

“Jadi inilah perbezaan antara kerajaan PH yang berpegang kepada prinsip demokrasi dan keadilan serta menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Baca: SOP polis lapok

Adun Permatang Pasir itu turut membezakan cara pentadbiran kerajaan pada ketika ini dan kerajaan PH sebelum ini.

“Berbeza dengan kerajan pintu belakang yang didalangi oleh Umno-BN dan Pas yang memang terkenal dengan sikap menakut-nakutkan rakyat dan menggunakan pihak polis serta pihak berkuasa bagi menghalang kebangkitan rakyat.

“Namun, saya dan rakan-rakan termasuk seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan demokrasi tidak akan tunduk kepada apa sahaja tekanan yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Ini kerana kami percaya kerajaan yang dibentuk hari ini adalah kerajaan tidak sah memandangkan sehari sebelum Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk jadi Perdana Menteri, Tun Mahathir telah menunjukkan bilangan mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya lagi.