Malaysia Dateline

Perhimpunan solidariti bukti Malaysia tolak Islamophobia

Bekas Adun PAS Kampung Raja Besut, menyifatkan perhimpunan solidariti kedamaian sebagai satu wadah bagi rakyat Malaysia menolak dasar Islamophobia yang dilihat tiada penghujung.

Abdul Aziz Abbas ketika ditemui pagi ini berkata program yang dijalankan merupakan masa terbaik untuk menzahirkan rasa cinta pada keamanan.

“Saya bersama keluarga turut serta dalam perarakan untuk menyatakan sokongan terhadap gerakan memartabatkan keamanan dan solidariti perpaduan.

“Ia merupakan satu semangat yang mesti ditonjolkan oleh seluruh masyarakat khususnya pada ketika isu kezaliman dan keganasan perkauman mula menular secara mudah di laman-laman sosial.

“Alhamdulillah, penyertaan nampaknya ramai tetapi sepatutnya kehadiran perlu lebih ramai kerana ia satu semangat yang perlu ditonjolkan ke segenap dunia,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perhimpunan Solidariti Kedamaian, Solidarity 4Peace anjuran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Program itu diadakan bertujuan menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia menolak fahaman kebencian serta sebagai tanda solidariti kepada kesemua mangsa insiden serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, minggu lalu.

Abdul Aziz turut menambah, inisiatif kesedaran cintakan keamanan perlu diteruskan terutama diperingkat bawahan, peringkat sekolah, jabatan dan pimpinan masyarakat yang membolehkan perkara itu menjadi bualan orang ramai.

Beliau dilihat hadir seawal jam 7.30 pagi, berpakaian jubah dan serban putih.

Beliau turut menyatakan setakat jam 7.30 pagi, kehadiran masih belum memuaskan berikutan ia merupakan hari minggu dan seharusnya mendapat sokongan penuh seperti yang disasarkan oleh kerajaan.

Dilihat turut hadir, Timbalan Ketua Sekretariat Amanah Parlimen Kepong, Mohd Noor Ali Akbar, Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad, serta Selebriti Tanah Air, Nur Heliza Helmi.