Perhimpunan #TangkapMO1 tetap di Dataran Merdeka

Perhimpunan #TangkapMO1 tetap di Dataran Merdeka

Sekumpulan mahasiswa dan anak muda bertekad untuk meneruskan himpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos ini di Dataran Merdeka.

Justeru jurucakap Gabungan #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof berharap pihak polis dapat memberi kerjasama agar perhimpunan dapat berjalan dengan aman.

Kumpulan itu juga berjanji akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjayakan himpunan ini.

“Apakah Putrajaya akan membenarkan kami berhimpun di hadapan pejabat perdana menteri untuk mendesak MO1 ditangkap?

“Sudah pasti tidak. Jika parameter tidak mendapat kebenaran pemilik tempat dijadikan alasan untuk menghalang himpunan, ini hanya helah untuk selama-lamanya perhimpunan diharamkan,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Semalam ketua polis negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan mengambil tindakan ke atas pihak penganjur jika meneruskan himpunan tersebut di Dataran Merdeka ekoran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan tempat itu digunakan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Amin Nordin Abdul Aziz berkata DBKL menyediakan kawasan lain iaitu di Padang Merbok untuk perhimpunan itu.

Menurut Anis, pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan IGP itu dan menyifatkan beliau masih takut dengan demokrasi sedangkan rakyat sudah matang dalam demokrasi.

“IGP telah menghukum hak rakyat untuk berhimpun secara aman, walaupun perhimpunan belum berlaku. Ini mencabuli hak perlembagaan.

“Malang untuk masa depan demokrasi Malaysia jika IGP mengekalkan mentaliti takut dengan bayang-bayang sendiri,” katanya.

Semalam gabungan ini mengadakan flashmob di Kuala Lumpur Sentral bagi memberitahu orang ramai tentang perhimpunan yang akan berlangsung dengan dikawal kira-kira 10 anggota polis.

Perhimpunan itu akan diadakan pada dua kawasan iaitu di Pusat membeli belah Sogo dan Masjid Negara.

Peserta merancang untuk berarak dari dua tempat itu ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang.

Ia bertujuan untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa menangkap “Malaysia Official One” yang dinamakan Jabatan Kehakiman (DoJ)Amerika Syarikat dalam tuntutan saman sivil berhubung dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan, kebanyakannya belia, telah menunjukkan sokongan mereka terhadap perhimpunan itu dengan PKR, DAP dan Pemuda Amanah Pemuda berikrar untuk turun berhimpun pada 27 Ogos ini, yang dianjurkan oleh beberapa pertubuhan belia dan disokong Bersih 2.0.