Malaysia Dateline

Perhutanan Sabah dedah kroni Musa miliki tanah balak lebih luas dari Singapura

Jabatan Perhutanan Sabah mendedahkan saiz keseluruhan tanah Singapura ialah kira-kira 72,200 hektar tetapi keluasan tanah yang dimiliki kroni Tan Sri Musa Aman lebih luas iaitu 86,728 hektar.

Menurutnya, terdapat enam syarikat kroni Musa Aman yang menerima kontrak pembalakan bagi tempoh 34 tahun sehingga 100 tahun di Kalabakan, Tibow dan Serudong.

Empat syarikat yang beroperasi di Kalabakan ialah Usahawan Borneo Greenwood Sdn. Bhd. dan Golden Borneo Palm Sdn. Bhd. yang antaranya dimiliki Datuk Elbert Lim Yu Ming; Eco Green Estate Sdn. Bhd. yang dimiliki Mohd. Azreen Mohd. Amin Khan dan Hutan Kita Plantation Sdn. Bhd. milik Abd. Razak Mohd. Said.

Usahawan Borneo Greenwood Sdn. Bhd. mendapat kontrak seluas 14,158 hektar selama 100 tahun bermula 1997 hingga 2097, Eco Green Estate Sdn. Bhd. seluas 4,047 hektar dengan kontrak 100 tahun antara 1997 hingga 2097, Golden Borneo Palm Sdn. Bhd. seluas 26,794 hektar selama 34 tahun bermula 2006 hingga 2040 dan Hutan Kita Plantation Sdn. Bhd. seluas 7.076 selama 34 tahun bermula 2006 hingga 2040.

Satu lagi syarikat yang didedahkan ialah Jawala Plantations Industries Sdn. Bhd. milik Tan Sri Abdul Majid Khan dan Abd. Rahman Khan Hakim Khan yang beroperasi di Tibow dengan keluasan 11,043 hektar selama 100 tahun bermula 2015 hingga 2115.

Syarikat keenam ialah Kalabakan Borneo Resources Sdn. Bhd. yang turut dimiliki Datuk Elbert Lim Yu Ming yang beroperasi di Serudong dengan keluasan 23,610 hektar untuk tempoh 50 tahun antara 2018 hingga 2068.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Mashor Mohd. Jaini berkata, lesen pembalakan yang diterima semua syarikat berkenaan adalah melalui FMU atau Lesen Persetujuan Pengurusan Hutan Lestari.

Katanya, FMU mula diberikan pada tahun 1997 ketika Datuk Seri Yong Teck Lee menjadi Ketua Menteri iaitu sebanyak 13 lesen manakala sehingga sebelum Mei 2018, sebanyak 33 lesen FMU telah dikeluarkan.

Tegasnya, tiada lagi lesen FMU dikeluarkan sejak Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah kecuali untuk Yayasan Sabah.

“Selepas Mei 2018, kerajaan tidak lagi mengeluarkan lesen FMU seperti sebelum ini, ada satu lesen itu pun untuk Yayasan Sabah kerana tanah adalah milik Yayasan Sabah,” katanya sebagaimana dilaporkan Borneotoday.

Sebelum ini, Seksyen 15 Enakmen Perhutanan membolehkan Ketua Menteri menganugerahkan terus mana-mana tanah kepada syarikat bagaimanapun enakmen itu telah dipinda agar turut memerlukan kebenaran Kabinet Sabah terlebih dahulu.

Bagaimanapun katanya, lesen berkenaan akan dikeluarkan terlebih dahulu kepada mana-mana syarikat, barulah syarikat itu akan berhubung dengan Jabatan Perhutanan untuk mengetahui syarat-syarat yang ditetapkan.

“Semua lesen FMU yang dikeluarkan adalah kelas 2 iaitu untuk tujuan produksi atau pembalakan.

“Menteri iaitu Ketua Menteri akan anugerah dulu tanah, selepas itu Jabatan Perhutanan akan berikan syarat-syarat untuk dipatuhi seperti penanaman semula untuk memastikan hutan kita terjaga.

Tambahnya, walaupun kebanyakan syarikat tidak menepati syarat untuk penanaman dan pemuliharaan semula hutan, namun kerajaan mengalami kesukaran untuk membatalkan setiap lesen kerana syarat yang memihak kepada pemegangnya.

“Bila FMU dikeluarkan, ia seperti tiada jalan keluar, kami memerlukan nasihat daripada Pejabat Peguam Besar Sabah jika mahu membatalkan sesuatu lesen kerana banyak kemungkinan termasuk disaman,” katanya.

Mashor bagaimanapun tidak menyebut nama Musa dalam sidang akhbar berkenaan, namun nama-nama pemilik syarikat yang ada dalam senarai diberikan kepada media diketahui adalah kroni bekas Ketua Menteri itu.