Perihal MB Kedah pelawa rakyatnya tempah kontena jenazah

Oleh NASUHA RAHMAN

Kemarahan rakyat semakin nyata. Termasuk dari pendukung setia parti yang Menteri Besar (MB) Kedah sendiri anuti. Jadi hal ini bukan soal politik semata-mata. Wabak Covid-19 bagi rakyat sudah menjadi persoalan hidup dan mati.

Kita telah kehilangan ahli keluarga dan sanak saudara. Suami menjadi duda, isteri menjadi janda. Anak kehilangan ibu, kehilangan bapa. Ramai kehilangan sahabat teman bicara.

Pernah dulu di surau saya ada pengajian berkala. Seorang penceramah, sahabat rapat juga. Sambil berkuliah dia selit isu semasa pemanis kata. Kebetulan ada seorang wakil rakyat sedang sakit tenat, didoakan YB tersebut agar mati cepat. Anehnya, para jamaah yang taksub pakat-pakat aminkan dan bertakbir penuh semangat.

Saya sangat tidak bersetuju. Habis kuliah dan sampai di rumah, saya kirim pesanan ringkas tegur ustaz…tak wajar sama sekali mendoakan orang yang sakit agar cepat mati. Sekalipun kepada orang yang menjadi musuh atau seteru… Ustaz kata dia hanya bergurau.

Persoalan hidup atau mati bukan perkara ringan. Apatah lagi untuk dijadikan bahan senda gurauan. Seperti lafaz cerai, boleh hukum jatuh talak walau dilafaz secara bergurau.

Saya khawatir YB MB Kedah pun boleh jatuh hanya kerana pelawa rakyatnya tempah kontena jenazah walaupun dengan niat bergurau.