Malaysia Dateline

Perihal Presiden PPBM yang pelik

Melihat senario yang berlaku saya agak pelik dengan percaturan politik Presiden PPBM TS Muhyiddin Yassin.

Ke mana sebenarnya arah tujuan beliau sebagai Presiden Parti?

Langkah Sheraton

Semua tahu apa yang terjadi. Setelah Tun M meletakkan jawatan Perdana Menteri kerana keputusan Parti PPBM yang keluar dari PH dan misi untuk mengambil alih kerajaan dijalankan.

Watak utama yang telah menjayakan misi ini ialah Azmin Ali. Dia bukan dari parti PPBM bahkan dikeluarkan dari parti yang dia anggotai selama puluhan tahun iaitu Parti Keadilan Rakyat. Azmin Ali ini bukan Presiden Keadilan bahkan hampir kalah ketika pemilihan parti Keadilan. Bermakna Azmin Ali tidak ada kuasa untuk menentukan sokongan kepada mana mana pihak kerana dia bukanlah berpengaruh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun Muhyiddin Yassin sanggup bekerjasama dengan Azmin Ali yang saya yakin Muhyiddin sendiri tidak tahu kekuatan sebenar Azmin Ali ini. Hanya mampu mempengaruhi 10 orang Ahli Parlimen Keadilan untuk bersamanya dan baki 39 Ahli Parlimen masih setia dengan perjuangan Keadilan.

Muhyiddin mengambil langkah berpaut di dahan yang sangat rapuh bersama Azmin Ali. Bahkan sehingga hari ini Azmin Ali dan kuncu kuncunya belum mempunyai parti secara rasmi. Boleh sahaja Azmin Ali ini bersama mana mana pihak sekaligus mengkhianati Muhyiddin Yassin. Jika didalam Keadilan pun Azmin Ali boleh mengkhianati perjuangan Reformasi apatah lagi kerajaan Muhyiddin yang tidak jelas matlamatnya.Kerja Mudah bagi Azmin Ali untuk mengkhianati Muhyiddin Yassin.

Bersama Umno

Langkah Muhyiddin bersama Umno lagi menambahkan kepelikkan dan besar risiko yang diambil beliau. PPBM adalah parti yang ditubuhkan oleh pimpinan Umno terdahulu. Bahkan Muhyiddin Yassin dipecat dari Timbalan Presiden Umno dan bersama Tun Mahathir membentuk parti alternatif orang melayu. Hasilnya PPBM bersama PH berjaya mengalahkan Umno yang telah berkuasa lebih 60 tahun.

Semestinyalah Umno akan menyimpan rasa dendam diatas kekalahannya. Tak disangka sangka Muhyiddin mengajak Umno secara blok untuk bersama beliau. Mustahil Umno tidak mempunyai niat lain selain mahu mengkuburkan PPBM yang telah mengaibkan Umno itu. Dan juga jumlah Ahli Parlimen Umno lebih banyak dari PPBM dicampur dengan MCA. Oleh sebab itulah jawatan penting kerajaan diberi kepada Umno. Maka Muhyiddin sedang menyerahkan tengkuknya kepada Umno untuk disembelih. Langkah bersama Umno ini sangat berisiko kepada PPBM dan Muhyiddin itu sendiri.

Bersama Pas

Kita maklum Pas juga terkena tempias tsunami politik PRU 14. AMANAH yang baru 3 tahun ditubuhkan berjaya ke Putrajaya. Sudah pasti Pas tidak akan senang duduk dengan prestasi AMANAH yang majoritinya bekas pimpinan Pas. Apakah Muhyiddin tidak nampak Pas hanya mahu berkuasa bersamanya hanya kerana dendam? Bukan kerana mahu memperkuatkan pasukan Muhyiddin tetapi lebih kepada sakit hati kepada AMANAH.

Pas juga terkenal dengan tidak setiakawannya dibawah Hj Hadi. Ketika bersama Pakatan Rakyat dahulu pun Pas tidak setia dengan rakan tahallufnya walaupun rakan tahallufnya lah membawa keuntungan kepada Pas.

Tindakan bersama Pas ini juga merisikokan Muhyiddin pada bila bila masa Pas boleh menarik sokongan walau tanpa sebab yang relevan seperti yang dilakukan ketika bersama Pakatan Rakyat dahulu.

Dikhabarkan desas desus pimpinan Pas ada menemui seorang Pimpinan mesra PH menawarkan untuk bersama membentuk kerajaan baru bersama PH. Inilah kelaku Pas yang saya katakan mereka boleh beralih arah pada bila bila masa.

3 Parti Melayu Islam dalam Kerajaan PN

Umno dan Pas adalah parti lama yang mempunyai kekuatan akar umbi. Manakala PPBM baru setahun jagung hanya bergantung kepada kekuatan individu seperti Tun M. Andaikata gabungan PN ini sehingga PRU 15 akan datang bagaimana untuk mengagihkan kerusi? Apakah Umno dan Pas rela mengorbankan kerusi mereka kepada PPBM dan PPBM rela mengorbankan kerusi mereka kepada Umno dan Pas? Ketika inilah PPBM akan ditelan hidup hidup oleh Umno dan Pas. Maka perjuangan PPBM akan lenyap begitu sahaja.

Oleh yang demikian saya melihat ada baiknya Muhyiddin Yassin kembali kepada Umno jika mahu mengekalkan survival politiknya dan meninggalkan PPBM kepada Tun M sahaja. Setidak tidaknya Muhyiddin akan bertambah kuat dengan sokongan penuh dari Umno. Dengan keadaan sekarang Muhyiddin meletakkan dirinya dan PPBM di satu keadaan yang sangat berbahaya dan tidak mustahil PPBM akan lenyap seperti Semangat 46 dahulu.

Jika kestabilan parti pemerintah ini goyah implikasinya kepada negara. Jangan kerana kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri sehingga lupa siapa kawan dan siapa lawan!

* Abbas Azmi adalah Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional