Malaysia Dateline

Perikatan Nasional dan terbunuhnya demokrasi

Demokrasi, pada asasnya dibina di atas struktur yang spesifik serta mempunyai prosedur konkrit dalam konteks pelaksanaan tindakan ke arah pembentukan kuasa dan penyebaran kuasa. Pastinya mempunyai garis moral dan sistem etika, sebagaimana diperbahaskan serta dianjurkan oleh Frederick G. Henke. Namun aspek realitinya moral dan etika bukan menjadi perhitungan utama dalam konteks persaingan politik, khususnya berhubung dengan analisis tingkah laku politik.

Wujud pada ketikanya soal proses moral dan sistem etika dinyah ketepikan, apabila berlakunya pertembungan kepentingan, antara kepentingan jangka pendek individu dengan kehendak ideologi jangka panjang kumpulan.

Hakikatnya persaingan akan menjadi penentu kepada nilai sikap dan pendirian politik, menjurus kepada pemikiran “siapa mendapat apa dan menguasai apa serta bagaimana memperolehi.” Idealnya Henry Bertram Mayo, menggariskan nilai kualiti demokrasi haruslah berasaskan kepada kekuatan pegangan prinsip dan kepatuhan terhadap proses moral, sesuatu yang bersifat unggul pada semangatnya, terutama dalam perjuangan untuk memastikan tertegaknya keadilan sosial.

Namun prinsip yang bertali dengan kehendak moral, sukar untuk dipertahankan apabila terdapatnya pertembungan kepentingan hasrat politik. Proses moral tidak mungkin dapat mengekang hasrat dan cita-cita politik individu, memandangkan individu dalam penentuan pembuatan keputusan politik sememangnya tidak mempunyai tahap kestabilan psikologi yang tinggi dan kecenderungan penilaian rasionaliti yang rendah, mendorong kepada kemungkinan wujudnya pelanggaran secara sengaja terhadap prinsip moral dan sistem etika demokrasi.

Situasi inilah juga yang menjadi faktor kepada keruntuhan kuasa Pakatan Harapan (PH), sebagai sebuah kerajaan, langkah Sheraton telah menjelaskan proses moral dan sistem etika sudah dikesampingkan.
Hakikatnya kemusnahan PH adalah dicipta daripada dalam anatomi PH itu sendiri dengan pengingkaran moral dan etika yang digerakkan oleh kalangan individu politik yang menjadi pendokong asal ideologi politik PH. Kumpulan inilah yang menjadi paksi kepada “deep state,” mengambil kesempatan di atas pemikiran demokrasi untuk membunuh demokrasi.

Realitinya demokrasi telah meletakkan sistem moral dalam kerangka aksi tindakan politik, sebagaimana dalam operasi kapitalisme, berdasarkan apa yang ditegaskan Adam Smith, lewat tulisannya melalui “theory of moral judgement.”

Sistem moral seharusnya menjadi pola proses pelaksanaan keputasan politik, namun timbul persoalan berkaitan dengan bagaimana sistem moral itu didefinisi atau ditakrifkam. Keadaan ini menimbulkam suasana yang kurang tenteram dalam operasi politik demokrasi.

Sebagaimana dengan pelaksanaan kapitlisme, memperlihatkan wujudnya unsur berantakan moral, maka realiti yang sama juga wujud dalam proses tindakan politik. Persoalan moral dan etika menjadi sesuatu yang subjektif, khususnya kepada pengatur gerakan politik dalam konteks menentukan faedah serta keuntungan maksimum yang bakal diperolehi.

Moral demokrasi menjadi begitu subjektif, kerana pihak yang menjadi pentafsir tersebut merupakan indivu-individu atau kumpulan yang menjadikan demokrasi sebagai alasan untuk memenuhi matlamat peribadi atau kepentingan kumpulan.

Apa yang nyata demokrasi mengiktiraf pluralisme, yakni kepelbagaian dan keanekaragaman, suasana ini tentunya mempunyai potensi kepada kewujudan pertembungam pemikiran, idea, kepentingan, perspektif, objektif, idealisme dan kerangka tindakan.

Apa yang jelas, demokrasi membenarkan pertembungan perbezaan dalam berhujah, namun pelaksanaan demokrasi seharusnya dilandaskan kepada aspek pematuhan terhadap standard, standard demokrasi.

Berdasarkan Pranav Shankar, terdapat sekurang-kurangnya lapan struktur binaan yang menjadi prinsip asas pelaksanaan pembentukan operasi demokrasi, iaitu; penglibatan rakyat dalam proses pembuatan keputusan, pemerintahan majoriti, mekanisme tindakan berasaskan prosedur, kerajaan yang dipersetujui, kerajaan berperwakilan, kedaulatan undang-undang, hak individu serta semak dan imbang.

Lapan pembolehubah ini menjadi prinsip teras, atau dalam konteks Edward Deming diklasifikasikan sebagai standard ukuran pengauditan dalam pelaksanaan demokrasi, khususnya dalam realisasi negara moden, lapan pembolehubah ini umumnya menjadi kerangka analisis sebenar dalam menentu kepatuhan terhadap fenomena amalan demokrasi.

Ini bermakna kewujudan sesebuah kerajaan dalam konteks pemerintahan negara, seharusnya memenuhi kapasiti kepatuhan terhadap lapan pembolehubah tersebut, memandangkan kedudukan pembolehubah-pembolehubah tersebut didefinisikan sebagai satu unsur standard, bagi menentukan bentuk tindakan yang boleh diklasifikasikan sebagai menepati piawai amalan demokrasi.

Maka analisis keabsahan kerajaan Malaysia pasca PH, sewajarnya diukur berdasarkan standard lapan pembolehubah ini. Kegagalan dalam memenuhi standard keseluruhan lapan pembolehubah tersebut, tentunya merencatkan status, wibawa dan keabsahaan kerajaan dalam konteks penelitian demokrasi.

Justifikasi amalan demokrasi, tidak boleh didefinisikan dengan hanya pengamalan beberapa pembokehubah tertentu dan menolak pemboleh lain atau mengkesampingkan amalan pembolehubah lain. Realitinya jika ini berlaku, maka status kewujudan kerajaan dalam kerangka premis demokrasi boleh dipersoalkan secara total.

Berdasarkan hakikat ini, maka kewujudan kerajaan yang digelarkan sebagai kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini perlu dinilai dalam konteks kerangka pemikiran ini. Mengambil kira akan konsep kerajaan dipersetujui, merujuk kepada persetujuan rakyat untuk diperintah oleh kerajaan.

Pengukuran persetujuan rakyat ini harus dilihat dalam konteks penerimaan dan pengabsahan oleh rakyat melalui mandat yang diberikan berdasarkan proses pilihan raya, sebagai satu mekanisme untuk menentukan pemerintahan majoriti.

Harus difahami bahawa, pilihan raya merupakan prosedur dalam menentukan operasi demokrasi, memandangkan ia berkait rapat dengan kerajaan berperwakilan. Ini bermakna kerajaan yang dipersetujui itu merupakan kerajaan yang terbina di atas proses pilihan raya, sebagai alat untuk pengabsahan keperluan majoriti, pilihan raya juga merupakan kaedah untuk menggembleng penglibatan rakayat dalam proses pembuatan keputusan.

Keadaan ini menunjukkan bahawa nilai demokrasi adalah suara rakyat bukan keputusan wakil rakyat secara peribadi, penentu pembentukan kerajaan adalah suara rakyat yang beradsarkan prosedur pilihan raya, keputusan wakil rakyat adalah keputusan politik yang bersifat kehendak individu.

Dalam konteks pembentukan kerajaan, ternyata ia tidak diasaskan kepada keputusan individu, kerana hakikatnya tidak menepati konsep kerajaan dipersetujui, dan ini tentunya melanggar prosedur demokrasi.

Mengambil kira soal kedaulatan undang-undang, merupakan antara prinsip penting pemikiran demokrasi. Timbul persoalan berkaitan dengan keabsahan kewujudan PN itu sendiri, dikatakan tidak berdaftar serta banyak pihak dalam kalangan anggota (?) PN, mendakwa mereka tidak terikat sebagai satu perikatan, jadi ini bermakna kewujudan PN itu sendiri adalah di luar keperluan lingkungan peraturan dan undang-uandang.

Dalam konteks situasi lain, kewujudan PN adalah melanggari prosedur serta peraturan negara, ini merupakan satu kesalahan serius kerana melibatkan perkara berkaitan dengan integriti dan kebertanggungjawaban. Keadaan ini tentu sekali telah mencacatkan prinsip kedaulatan undang-undang yang mana pelanggarannya begitu jelas dan nyata.

Maka adalah tidak syak lagi amat bertentangan sekali dengam keperluan asas operasi serta prinsip demokrasi, iaitu kedaulatan undang-undang, ketidakpatuhan terhadap kedaulatan undang-undang merupakan satu persendaan nyata terhadap amalan demokrasi.

Pembentukan kerajaan seharusnya mengambil kira akan semangat Perlembagaan, menghormati suara majoriti yang diserahkan oleh keputusan rakyat yang terlibat langsung dalam membuat keputusan melalui pilihan raya. Ini bermakna kedaulatan undang-undang itu juga dapat didefinisikan sebagai kepatuhan terhadap peruntukan perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan pihak yang memperolehi undi majoriti.

Membina kuasa politik atas dasar penyelewengan konsep majoriti adalah jelas melanggar roh dan semangat Perlembagaan serta memperjelaskan akan kewujudan kemusnahan akar moral. Apa yang jelas, dalam konteks pemikiran demokrasi, pengesahan sumber kuasa pemerintahan adalah berdasarkan mandat majoriti melalui keputusan pilihan raya, bukannya didasarkan eksploitasi majoriti melalui penyalahgunaan institusi demokrasi, mengksploitasi sokongan melalui tawaran politik dan faedah politik. Adalah sesuatu tindakan yang mematikan roh demokrasi dan tentunya mencabar kualiti moral.

Satu perkara asas dalam konteks demokrasi adalah sistem moral dan etika. Gambaran ini agak jelas dengan paparan lapan pembolehubah berkaitan. Iaitu meletakkan standard kepatuhan terhadap prinsip dan prosedur demokrasi.

Hakikatnya sistem moral dalam pembentukan kerajaan, telah pun digambarkan lebih awal oleh John Locke yang memperkatakan soal masyarakt sivil, begitu juga Ibn Khaldun yang menjelaskan bahawa pembentukan sesebuah kerajaan harus bersifat keterikatan terhadap nilai moral dan etika.

Dalam realiti apa pun, keputusan individu lebih bersifat keputusan politik yang diasaskan kepada kepentingan politik, bukan merupakan kehendak demokrasi. Namun demikian keputusan politik individu boleh diterima rujuk seandainya kumpulan yang telah mendapat mandat majoriti telah menyelewengkan mandat tersebut sehingga kepentingan majoriti telah di khianati.

Jelasnya dalam situasi sebegini, keputusan individu boleh dijadikan sandaran untuk membina dimensi politik baru, bertindak memencilkan kumpulan yang bersikap menyeleweng daripada mandat majoriti yang diperolehi dan dibina melalui prosedur standard demokrasi.

Apa yang nyata, dalam realiti mandat majoriti masih dipertahankan oleh kumpulan majoriti, maka keputusan individu untuk menarik diri serta keluar daripada kumpulan yang mendapat majoriti tersebut, boleh disifatkan sebagai tindakan yang berada diluar batas moral serta melanggari standard nilai etika dan proses moral demokrasi.

Hakikatnya, demokrasi mementingkan prosedur, sistem dan penekalan proses, bermakna individu walau dalam keadaan apa pun akan tetap terikat kepada kumpulan yang disertai untuk melaksanakan proses demokrasi, bahkan penyertaan individu dalam kumpulan merupakan fenomena asas untuk menggerakkan demokrasi.

Tidak ada sistem demokrasi dunia yang mengabsahkan ruang individu untuk bertindak secara bersendirian keluar daripada kelompok majoriti, bagi merealisasikan demokrasi dalam konteks pembentukan kerajaan.
Situasi sebegini terbukti akan realitinya berlaku sama ada di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand mahupun di Britain atau mana-mana negara dunia yang menjadikan demokrasi sebagai model kepada pembentukan kerajaan serta menjadikan pilihan raya sebagai mekanisme penyertaan rakyat dalam konteks pembuatan keputusan.

Hak mandat majoriti, tetap menjadi hak kepada pihak yang diputuskan melalui prosedur pilihan raya. Realitinya, meski pun demokrasi menjadi mekanime kepada penyebaran tindakan demokrasi, namun demokrasi juga boleh terbunuh melalui kecurangan amalan demokrasi.

  • DR. KAMARUDIN MUSA ialah pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.