Malaysia Dateline

Perikatan Nasional pun serabut tapi boleh berkompromi demi kuasa

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak sudah dapat dijangka sejak awal lagi, belum pun hari penamaan calon.

BN diramal menang mudah dan pastinya mampu meningkatkan majoriti undi. Sokongan padu Pas sebagai sekutu rapat Umno dalam Muafakat Nasional (MN) tidak berbelah bahagi; ahli dan penyokongnya patuh-taat mengundi logo dacing tanpa sebarang keraguan.

Meskipun nampak kecelaruan kerana dalam Perikatan Nasional (PN), terutama persaingan sengit merebut teraju utama di antara Umno dan Bersatu, keserabutan lebih ketara di pihak pembangkang.

Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) hilang daripada radar. Beliau langsung tidak dapat dikesan di Slim. PKR, walaupun mewakili Parlimen Tanjung Malim (Slim Dun di bawahnya) membuat penampilan yang cukup minimum.

Berdasarkan laporan media sosial, hanya Parti Amanah Negara (AMANAH) yang kelihatan mengerahkan jenteranya bersama pimpinan utama, dari peringkat kawasan-negeri-nasional berkampung serta berkempen di sana. Ini mengingatkan kita dengan komitmen AMANAH dalam PRK Tanjung Piai, 2019.

Beberapa pemimpin PKR seperti setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Saari, turut turun membantu tetapi kelibat Anwar yang ditunggu pengundi.

Persepakatan oposisi menjadi persoalan umum. Konflik dalaman pembangkang bukan rahsia lagi, malah menimbulkan persepsi buruk dalam kalangan rakyat.

Persefahaman longgar dan kerjasama rapuh di antara Umno-Bersatu dikesan pada awal pembentukan kerajaan pintu belakang Mac lalu, tetapi demi kepentingan bersama yang lebih besar, kedua-dua parti berjaya mengetepikan perbedaan itu.

Prioritinya, kerajaan PH mesti ditumbangkan segera. PRU-15 hendaklah dijalankan di bawah kerajaan PN. Usaha PH untuk mendekati rakyat dan menjelaskan kekeliruan yang timbul sepanjang pemerintahannya mesti digagalkan. Dan mereka berjaya melakukannya, walaupun dalam keadaan begitu banyak persoalan yang belum dapat diselesaikan, termasuk agihan menteri-menteri Kabinet.

Perayu undi calon Pokok pada hari pengundian mungkin boleh menarik nafas lega apabila Amir Khusyairi tidak hilang wang pertaruhan.

 

Agihan kerusi 

PN sebenarnya berdepan konflik yang jauh lebih besar berbanding pembangkang. Itu pun belum memasuki fasa lebih mencabar, iaitu proses agihan kerusi PRU-15. Ketiga-tiga parti Melayu, Umno-Bersatu-Pas akan terseret dalam kemelut tuntutan bertindih di konstituensi hampir sama.

Malang sekali, dalam barisan pembangkang, bukan sahaja PH Plus terburai, malah sesama komponen asas PH — PKR, AMANAH dan DAP — pun tergambar seolah-olah wujud syak-wasangka berterusan. Anwar juga gagal mempamerkan wibawanya sebagai peneraju baharu selepas Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir memang sudah di hujung julai kerjaya politiknya. Dalam usia 95 tahun, tidak terjangkau di fikiran kita, beliau sedang gigih mengusahakan sebuah parti baharu bagi menumbangkan kerajaan pengkhianat yang “memberi nyawa” kepada gerombolan kleptokrat.

Hebat gugatan dan tribulasi yang dihadapi Mahathir pada penghujung usianya ini. Bagi sesetengah pihak, ini risiko yang ditempanya susulan kesilapan meletakkan jawatan perdana menteri, akhir Februari lalu.

Namun, Mahathir tetap seorang Mahathir. Katakan apa sahaja kepadanya, “degil”, “keras kepala”, “terlalu yakin diri”, namun dia tetap mengekalkan dirinya sebagai sosok politik yang masih menarik perhatian umum; tidak mudah memadamkan hikayatnya dalam lanskap politik tanahair.

Stamina Mahathir untuk berdepan sang penguasa tetap membara meskipun kudratnya cukup terbatas. Bayangkan, sebelah pagi mahkamah mengesahkan pemecatan keahliannya dalam Bersatu, parti yang diasaskan beliau, pada tengah harinya dipanggil sidang media penubuhan parti baharu dan malamnya, acara ringkas pelancaran. Terserlah semangat “lawan tetap lawan” dan “lawan sampai mati”.

Bagi kebanyakan orang, PRK Slim adalah nokhtah pada kerjaya politik Mahathir. Bagi mereka, ia bukti Mahathir sudah tiada pengaruh lagi khususnya di kalangan pengundi Melayu.

Slim boleh mewakili kerusi majoriti Melayu dan berada di luar bandar. Malah, tidak kurang yang mengungkit, keputusan Slim juga menunjukkan Mahathir bukanlah faktor yang memenangkan PH dalam PRU-14, dua tahun lepas! Mungkin mereka sekadar meluahkan rasa terbuku sejak lama kepada Mahathir.

Rasanya tiada yang terkejut dengan kekalahan calon Bebas-Pejuang ini. Malah, ada yang terperanjat anak muda bersimbol pokok itu tidak hilang deposit.

Tetapi lebih ramai tidak menduga undi calon BN boleh meningkat begitu banyak, melepasi jumlah kutipan undi calon Umno campur Pas dalam PRU-14 lalu.

Boleh dijangka kritikan dan kecaman kepada Mahathir susulan kekalahan teruk calon Pejuang ini, termasuk daripada penyokong Anwar. Perselisihan Mahathir-Anwar bagai tidak dapat dirawat lagi. Ia adalah episod paling sedih dan tragis pernah dirakamkan.

Kemenangan di Slim dengan 10,945 undi majoriti menyaksikan BN menang tujuh daripada 12 kali PRK sejak PRU-14 pada 9 Mei 2018.

Gagal menebus

Peluang PH merebut balik Putrajaya juga terhalang kerana faktor ini walaupun ternampak terbuka luas. Pembangkang gagal menebus kembali mandat rakyat ekoran permusuhan berterusan Mahathir-Anwar.

Umum mengetahui nipisnya keserasian di antara Mahathir dan Anwar. Penyokong masing-masing juga berbalas sindiran serta serangan, kadang-kadang melampaui perseteruan kerajaan-pembangkang.

Umum juga maklum pertelingkahan yang serius dalam kerajaan PN, khususnya di antara Umno-Bersatu. Bidasan terbuka bukan rahsia lagi. Perdana Menteri Muhyiddin juga dikritik keras pemimpin Umno.

Daripada sudut ini, tidak jauh beda situasi dalam gabungan pembangkang dengan PN. Namun sehingga kini PN boleh dianggap berjaya pertahankan kuasa yang dirampas itu, meskipun mengalami “kecederaan parah”. Sedangkan pembangkang seolah-olah terus terbawa-bawa dengan sentimen dan prasangka negatif.

Tiada manfaatnya keputusan PRK Slim ini dipergunakan untuk memperdalam dan mempertajamkan perbedaan sesama pembangkang. Ya, wajar sekali dimanfaatkan untuk mengkoreksi diri dan memperkukuh persefahaman.

Kekuatan datang dengan kesatuan. Mencari justifikasi di atas segala tanggapan dan andaian lama tidak menguntungkan untuk perjuangan yang lebih panjang.

Persepakatan di antara parti-parti berbeda sentiasa menagih pengorbanan, kesabaran dan tolak-ansur yang tinggi.

Keputusan PRK Slim tidak harus mempertajamkan perbezaan sesama pembangkang.