Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai seorang penjawat awam terikat dengan Perintah Am dan Pekeliling Perkhidmatan walau apa pun jawatan dan gelaran anugerahnya.
Veteran Umno, Datuk Zaharin Mohd Yasin berpendapat Azam mungkin kurang tahu mengenai Perintah Am yang mempunyai kawalan terhadapnya.
“Soal adik dan siapa pun menggunakan akaunnya, itu adalah soal kesepuluh. Soal yang pertama dia ada akaun pembelian saham.
“Ada atau tidak, dia telah mengisytiharkan pembelian saham selama ini kepada Ketua Jabatan SPRM sebelum dilantik Ketua Pesuruhjaya?
“Kenapa tidak menjelaskan akaun pembelian saham itu di syarikat sekuriti mana,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Zaharin yang juga bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak berkata, Azam sepatutnya membuktikan wang yang sudah dipindahkan itu dalam tempoh kurang 24 jam.
“Persoalan undang-undang dalam Perintah Am (General Order) untuk penjawat awam, sebarang pemindahan kewangan tidak boleh diberikan alasan itu bukan duit saya.
“Kecuali dibuktikan dalam masa kurang 24 jam wang itu sudah dipindahkan. Dan ini perlu dibuktikan.
“Jika lebih dari masa itu, dia tetap bertanggungjawab kepada kewangan saham itu,” tegasnya.
Beliau juga berpendapat Azam sepatutnya menjelaskan hari dan masa berlakunya pembelian serta pemindahan saham yang dikatakan.
“Kenapa tidak dijelaskan? Hari dan masa berlakunya pembelian saham dan pemindahannya. Ini penting.
“Kesimpulannya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam boleh mengantung perkhidmatannya supaya satu siasatan dilakukan,” kata Zaharin lagi.