Perintah berkurung baharu di ESSZone dilanjutkan hingga 27 Mac

Perintah berkurung baharu di ESSZone dilanjutkan hingga 27 Mac

Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang bermula esok dilanjutkan sehingga 27 Mac ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan serta Beluran.

Katanya perintah berkurung yang baharu akan bermula esok pada 6 petang yang berkuat kuasa selama 24 jam.

Menurutnya perintah berkurung ini akan dilanjutkan selama 14 hari mulai Rabu ini (13 Mac) hingga 27 Mac pukul 6 petang.

“Orang lain tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang telah diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Omar berkata perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak dicerobohi oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik antarabangsa menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

Beliau berkata perintah berkurung itu juga bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat yang berada di kawasan daratan ESSZone.

Perintah berkurung tersebut akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan, katanya.

Omar berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya. -BERNAMA.