Malaysia Dateline

Mohamed Hanipa Maidin

Perintah DNAA lebih wajar dan adil untuk kes Musa Aman, kata MP Sepang

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, perintah “dibebas tanpa dilepaskan” atau DNAA adalah lebih wajar dan adil dikenakan ke atas Tan Sri Musa Aman daripada keputusan penarikan balik pendakwaan ke atas 46 tuduhan ke atasnya.

Kata beliau, pembebasan penuh bermakna tertuduh tidak boleh lagi didakwa selepas ini atas kesalahan yang sama berdasarkan doktrin “double jeorpardy” dalam undang-undang jenayah.

Ujarnya, berdasarkan laporan media, dilaporkan bahawa pihak Peguam Negara (AG) mengasaskan keputusan penarikan balik pendakwaan ke atas 46 tuduhan tersebut atas alasan antaranya ketiadaan para saksi (the unavailability of witnesses), dokumen tidak diperolehi dan afidavit mantan AG.

“Bila AG mengatakan ketiadaan saksi, dokumen tak dapat dikesan dan Afidavit mantan AG, bagi saya, dengan hormat, atas alasan tersebut, perintah DNAA patutnya lebih wajar dan adil.

“Saksi dan dokumen mungkin masih boleh dikesan pada masa hadapan di zaman canggih ini. Mantan AG mungkin masih boleh disapina sebagai saksi untuk terangkan afidavit beliau.

“Justeru, DNAA adalah opsyen yang paling wajar.

“Sebagai alternatif, mungkin tidak perlu ditarik balik kesemua 46 pertuduhan. Mungkin boleh, sama ada pinda atau hanya tarik balik sebahagian pertuduhan dan teruskan pendakwaan,” kata beliau menerusi Facebooknya semalam.

Kata beliau, sehingga kini nampaknya penarikkan balik 46 tuduhan jenayah ke atas Musa Aman masih terus diperkatakan dalam masyarakat.

Menurutnya, pelbagai pihak memberi reaksi sama ada yang menyokong keputusan Peguam Negara atau sebaliknya.

Dari sudut Perlembagaan Persekutuan jelas Hanipa, beliau bersetuju kuasa AG untuk menarik balik atau tidak teruskan pendakwaan memang wujud.

“Mungkin yang menjadi tandatanya kenapa apabila pihak pendakwa memilih untuk tidak teruskan pendakwaan di bawah seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (orang undang- undang kata “nolle prosequi“), tertuduh diberikan pembebasan penuh (a full discharge /acquittal) dan tidak hanya sekadar diberikan perintah “dibebas tanpa dilepaskan” (DNAA).

“Pembebasan penuh bermakna tertuduh tidak boleh lagi didakwa selepas ini atas kesalahan yang sama berdasarkan doktrin “double jeorpardy” dalam undang-undang jenayah,” tambahnya.

Di Malaysia ujar beliau, doktrin itu diabadikan di Artikel 7 Perlembagaan Persekutuan manakala di Amerika, ia dinyatakan dalam Pindaan Kelima Perlembagaan mereka.

Katanya, jika tertuduh hanya di DNAA sahaja, beliau masih boleh didakwa di atas kesemua 46 pertuduhan tersebut pada masa hadapan.

Pada 8 Jun lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas diberitahu oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Azhar Abdul Hamid, bahawa pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan terhadap Musa.