‘Perintah Kawalan Pergerakan’ 14 hari mulai lusa

‘Perintah Kawalan Pergerakan’ 14 hari mulai lusa

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu ini, 18 Mac sehingga 31 Mac di seluruh negara.

Menurutnya dalam perutusan khas Covid-19 malam tadi, keputusan kerajaan itu berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Jelasnya, perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi; pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Bagi menguatkuasakan larangan tersebut, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam, ujarnya, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang semalam.

Bagi Kawalan Pergerakan kedua, Muhyiddin berkata, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

“Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

“Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara; Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

“Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

“Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan,” jelasnya.

Menyentuh tentang perkembangan wabak Covid-19 di negara ini, Muhyiddin berkata, berlaku peningkatan kes secara mendadak, iaitu 190 kes semalam, disusuli 125 kes baharu hari ini.

Jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti wabak tersebut adalah sebanyak 553 orang.

Daripada jumlah tersebut, seramai 511 orang sedang dirawat di hospital,
manakala 42 orang telah pun pulih.