Malaysia Dateline

Peristiwa 13 Mei jadi iktibar pentingnya perpaduan kaum, kata Lee Lam Thye

Peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 perlu dijadikan sebagai pengajaran betapa pentingnya perpaduan antara kaum, khususnya kepada negara masyarakat majmuk, Malaysia.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye memberitahu, detik hitam 13 Mei terjadi adalah berpunca daripada pihak tertentu yang mahu bermain dengan perkara sensitif, iaitu isu perkauman.

Beliau berkata, dalam konteks Malaysia Baharu ini khususnya, setiap lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab iaitu memastikan keharmonian dan perpaduan terus disemai antara satu sama lain.

Katanya lagi, keharmonian antara kaum akan dapat dikekalkan apabila, rakyat Malaysia patuh kepada rukun negara dan juga menghormati Perlembagaan Persekutuan.

“Saya sebut patuh kepada rukun negara dan menghormati Perlembagaan Persekutuan kerana, kedua-kedua ini mengandungi prinsip yang dapat menyumbang ke arah pembinaan sebuah negara bersatu padu dan juga suasana harmoni.

“Seperkara lagi yang sangat penting ialah, semangat hormat menghormati antara satu sama lain. Menghormati agama dan kaum di Malaysia sangatlah penting.

“Sekiranya kita semua ada semangat hormat menghormati dalam kalangan masyarakat majmuk di negara kita ini, saya rasa banyak insiden yang tidak diingini boleh dielakkan, seterusnya hidup dalam keadaan aman.

“Tarikh 13 Mei sepatutnya menjadi pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa, sikap tidak prihatin terhadap soal perkauman dan agama, berpotensi mencetuskan keadaan yang huru hara,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya berhubung kontroversi peristiwa itu baru-baru ini, pada Majlis Iftar Ramadan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) bersama media, di Hotel Le Meridien, semalam.

13 Mei lalu, peristiwa berdarah yang menyakitkan itu genap 50 tahun dalam lipatan sejarah hitam negara.

Dalam perkembangan berbeza, Lam Thye yang juga Pengerusi Niosh berpendapat, tahap kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja perlu mencapai satu tahap yang memuaskan.

Sehubungan hasrat itu, beliau berharap budaya keselamatan dan kesihatan dalam kalangan pekerja dapat diwujudkan melalui program atau aktiviti yang dianjurkan pihaknya.

“Untuk mencapai ke satu tahap yang memuaskan, kita memerlukan lebih banyak usaha daripada semua pihak, sama ada kerajaan, swasta atau pertubuhan yang terlibat.

“Kalau kita dapat wujudkan budaya kerja yang selamat dan sihat, saya yakin kita akan dapat mengurangkan insiden kemalangan di tempat kerja,” ujar Lam Thye lagi.