Peristiwa Memali akibat Islam dihina, kata Presiden Pas

Peristiwa Memali akibat Islam dihina, kata Presiden Pas

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan peristiwa Memali yang berlaku 32 tahun lalu berpunca daripada tindakan sesetengah pihak yang menghina Islam.

Dalam tulisan terbaru yang diterbitkan portal rasmi Pas, Harakahdaily hari ini, Abdul Hadi berkata, ramai di kalangan rakyat masih tidak lupa apabila hukum Islam dan Sunnah Rasulullah s.a.w. menjadi bahan gelak ketawa pada satu masa dahulu sehingga ke peringkat menolak hadis.

“… seperti kata-kata kalau hukum jenayah Islam dilaksanakan menyebabkan ramai orang yang cacat anggota, Rasulullah s.a.w. tidak mencukur janggut kerana di zamannya tidak ada pisau pencukur yang berjenama seperti hari ini dan menutup aurat hanyalah adat orang arab yang kuat nafsu di padang pasir,” ujarnya.  

Keadaan ini, katanya  mendorong Bahagian Agama Islam Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengeluarkan buku bertajuk “Mustika Hadis” yang antara lain menghuraikan perkara-perkara tersebut.

Namun katanya, hanya kalangan agamawan yang membaca dan mengkaji buku tersebut walaupun ia dikeluarkan oleh JPM dan diberi kata pengantar oleh perdana menteri waktu itu, Almarhum Tun Abdul Razak Husein.

“Adapun yang tidak berminat tanpa peduli, tetapi bercakap juga berkenaan Islam, maka berlakulah salah laku terhadap agama Islam yang mulia,” katanya.

Menurut beliau, oleh kerana penjelasan kitab Mustika Hadis dilakukan secara ekstrem tanpa membezakan di antara yang jahil dan keadaan masyarakat yang jauh daripada pendidikan Islam, para pemimpin Pas ketika itu menugaskan beliau menyediakan kajian bertajuk ‘Batas-batas Iman dan Kufur” bagi menangani ahli Pas supaya tidak terperangkap dalam isu kafir mengkafir.

Menurutnya, Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmod yang mempunyai kelulusan pengajian tinggi agama dan pernah bertugas di Bahagian Agama JPM tidak bersedia menjadi ‘syaitan bisu’ apabila mendengar dan membaca kenyataan menghina Islam.

Menyifatkan apa yang berlaku sebagai ‘pertelingkahan dalam urusan agama’, kerajaan sepatutnya menghantar ‘pasukan agamawan’ untuk bertemu Ustaz Ibrahim Libya dan bukannya polis.
     
Beliau berpendapat, peristiwa Memali adalah mangsa daripada salah laku terhadap Islam oleh pemimpin negara pada masa itu.

“Polis dipaksa bertindak terhadap golongan agama yang terpaksa mempertahankan kesucian Islam yang dihina,” katanya.

Oleh kerana perkara agama Islam berada di bawah konsep Raja Berperlembagaan, ahli parlimen Marang itu menyarankan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat secara bebas dan adil peristiwa Memali.

Pas ujarnya, bersedia memberi kerjasama bagi menghapuskan fitnah yang boleh merosakkan hubungan kalangan umat Islam dan berlaku adil terhadap semua mangsa peristiwa itu.

Beberapa pihak termasuk bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Nor mendakwa peristiwa berdarah Memali berpunca daripada ketaksuban ahli-ahli Pas terhadap ‘Amanat Haji Hadi’ yang merujuk kepada ucapan Abdul Hadi yang ketika itu menjawat naib presiden Pas di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 1981.

CATEGORIES
TAGS