Malaysia Dateline

Perisytiharan dan kuasa darurat yang ada tidak sah, kata Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, periytiharan darurat yang dibuat oleh kerajaan adalah tidak sah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Beliau memberikan berbelas sebab kenapa ia tidak sah dengan sebab utamanya adalah kerajaan yang memberikan nasihat kepada Yang Dipertuan Agong ini sudah hilang majoriti ketika berbuat demikian.

“Ini menyebabkan kuasa darurat ini tidak sah,” kata beliau dalam video Februari 2021 lalu yang kini disebarkan semula ketika desas desus Yang Dipertuan Agong akan bertemu dengan ketua-ketua parti politik sebelum bertemu dengan sultan dan raja-raja Melayu.

Video kenyataan Mahathir bahawa pengisytiharan darurat tidak sah kerana nasihat itu dibuat ketika kerajaan yang ada tidak cukup majoriti kini disebarkan semula menjelang ketua parti politik bertemu Yang Dipertuan Agong.

Sebab-sebab yang dibariskan oleh Mahathir kenapa ia tidak sah adalah, semasa menasihatkan Yang Dipertuan Agong untuk mengisytihar darurat, Muhyiddin sudah hilang majoriti selaku perdana menteri.

Alasan yang diberikan oleh beliau kerana Covid-19 dan perlukan kuasa di bawah Undang-undang Darurat adalah satu pembohongan, katanya.

Menurut Mahathir, sejak darurat disiytihar, tidak ada satu pun tindakan diambil dalam membanteras Covid-19 yang hanya dapat dilakukan dibawah undang-undang darurat. Sebaliknya semua boleh dibuat oleh undang-undang biasa yang telah ada.

Oleh itu, bagai Mahathir, dakwaan bahawa Covid-19 hanya boleh dikendalikan di bawah Undang-undang Darurat adalah satu pembohongan.

“Sebaliknya undang-undang darurat hanya untuk mengekalkan dirinya sebagai perdana menteri sahaja.

“Inilah tujuan sebenar Muhyiddin berusaha suaya darurat diisytihar,” dakwa beliau.

Dengan kuasa darurat, katanya, Parlimen digantung supaya kedudukan dirinya tidak boleh disoal atau dicabar.

Beliau juga mendakwa, warta kerajaan yang dikeluarkan menggunakan nama Yang Dipertuan Agong bertujuan supaya Muhyiddin dilindungi.

Segala yang didakwa sebagai kehendak Yang Dipertuan Agong termasuklah mengekal kuasa perdana menteri dan kabinetnya, kata beliau.

Katanya, dengan pengekalan kuasa PM maka hak untuk nasihatkan Agong juga dikekalkan.

“Ini bermakna apa saja yang dilakukan dibawah nama Yang Dipertuan Agong adalah nasihat perdana menteri.

“Ini termasuk rampasan harta, nilai gantirugi tidak boleh dipertikai, denda RM5 juta, penjara 10 tahun dan tidak boleh dipertikai segala tindakan mahkamah.

“Ini menjadi kerajan ini kerajaan kuku besi dengan menggunakan nama Agong dan ia akan menggambarkan Agong diktator dan zalim.

“Sebaliknya semua undang-undang ini diperbuat oleh kerajaan Muhyiddin,” kata bekas perdana menteri sebanya dua kali itu.

Oleh itu, katanya, segala kezaliman yang dilakukan seperti menghalang rakyat berpolitik dan menegur kerajaan juga merampas hak rakyat dalam undang-undang negara, kerana darurat membenarkan kerajaan mengenepikan undang-undang biasa.

Menurut beliau, selain wabak Covid-19, darurat juga telah menyebabkan negara mengalami kemerosotan ekonomi yang amat teruk.

“Hutang negara sudah sampai RM1.3 trilion. Pertumbuhan ekonomi merosot pada paras tertinggi iaitu sebanyak 5.6 peratus, kononnya pada 2021 ekonomi akan meningkat hingga 7.5 % tidak menunasbah,” katanya.

Mahathir juga berkata, penganguran telah meningkat kepada 773,000, sesuatu yang tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Pengangguran yang tertinggi pula adalah di kalangan siswazah di mana satu dari empat mereka bekerja dengan kerja yang tiada kena mengena dengan kelulusan mereka.

Firma-firma juga, katanya, mengalami kerugian dengan NPL (hutang tidak berbayar) berjumlah RM29 bilion.

“Ramai peniaga hilang pendapatan. Mereka bahkan tidak dapat membeli makanan sendiri dan ahli keluarga.

“Walaupun kerajaan janji akan meberi bantuan tetapi ramai yang tidak terima apa-apa,” katanya.

Mahathir juga berkata, berbilion dollar pelaburan asing sekarang di salur ke negara jiran. Pelabur di Malaysia juga berpindah ke negara lain.

“Saya sedar wabak Covid-19 menghalang perniagaan tetapi zaman perniagaan online banyak perniagaan baru boleh diadakan.

“Malangnya kerajaan tidak berusaha memudahkan perniagaan. Pelabur tidak dilayan bahkan dihalang,” katanya.

Menurutnya, ada perlaburan yang ditamatkan walaupun bernilai berbilion.

“Kebanyakan menteri tidak mahu jumpa peniaga untuk selesai masalah. Ada peniaga yang tertekan dengan ahli politik yang telah gantikan tokoh profesional yang dibuang dan banyak lagi sebab,” katanya.

Bagi beliau, pengisytiharan darurat ini menakutkan pelabur kerana semasa darurat, undang-undang biasa diketepikan.

“Sesungguhnya kerajaan sekarang tidak berasas kepada undang-undang. Jelas berbohong apabila kata perlu darurat untuk membendung Covid-19,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan yang ada juga menyalahgunakan nama Agong untuk dilindungi dari tuduhan membuat salah.

“Menutup mulut rakyat dan wakil mereka dengan menutup parlimen. Mengamalkan rasuah dan mengugut dengan hukuman berat kepada sesiapa yang persoal tindakan, kerajaan bertindak bertentangan dengan peruntukan undang-undang sehingga memburukkan ekonomi dan menyekat kehidupan sosial rakyat dan memerintah secara diktator yang tidak boleh ditentang,” dakwa beliau.