Perjanjian kapal Malaysia-China tetap diteruskan

Perjanjian kapal Malaysia-China tetap diteruskan

Malaysia akan meneruskan usaha pembinaan kapal bersama dengan China, walaupun negara itu telah mengkaji semula beberapa projek yang disokong oleh China yang dilancarkan oleh kerajaan sebelum ini.

Di bawah perjanjian pertahanan yang ditandatangani oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak pada April 2017, Malaysia membeli empat Kapal Misi Pesisir [Littoral Mission Ship- LMS] dari China dengan kos RM300 juta (AS$72 juta) setiap satu.

Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu telah mengadakan lawatan ke limbungan kapal di Wuhan, China pada Selasa untuk memantau pembinaan dua kapal pertama yang bermula pada akhir Julai lepas. Dua lagi akan dibina secara usaha sama dengan pembuat kapal Malaysia, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Menurut Mohamad  fasa pembinaan kapal di Malaysia akan melibatkan pemindahan teknologi antara kedua-dua negara.

“Saya sangat berharap usaha menyiapkan pembinaan kapal berjalan mengikut jadual dan akan meneruskan momentumnya sehingga penyerahan kapal-kapal berkenaan dibuat secara fizikal,” kata beliau kenyataan semalam. .

Perjanjian itu terselamat di tengah-tengah pembatalan dan semakan semula pelbagai projek yang diumumkan oleh kerajaan Pakatan Harapan, sebuah kerajaan baru yang memenangi pilihan raya umum pada 9 Mei lepas.

Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad sebelum ini berkata beliau sedang mengeluarkan perintah berhenti kerja bagi pelbagai projek yang disokong oleh China untuk menangani hutang negara yang banyak.

“Ini tidak menandakan sebarang perubahan dalam pendirian Malaysia terhadap China,” kata Shahriman Lockman, penganalisis kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa yang berpangkalan di Kuala Lumpur, yang bercakap mengenai perjanjian kapal itu.

Pesisir senyap

Langkah yang diambil adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memodenkan Tentera Laut Diraja Malaysia yang termasuk rancangan untuk mengurangkan 15 jenis kapalnya kepada lima. “Dengan memiliki sebilangan kecil jenis kapal, ia akan mengurangkan perbelanjaan operasi tentera laut,” kata Shahriman kepada BeritaBenar.

Dalam temubual dengan portal berita pertahanan Defence IQ pada April 2017, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Ahmad Badaruddin Kamarulzaman berkata Malaysia akan mempunyai 18 buah kapal misi persisir LMS dalam armadanya.

“Kapal misi pesisir adalah kapal kecil yang direka untuk memerangi musuh berhampiran pantai secara senyap dan kadangkala boleh memerangi musuh yang lebih besar. Dengan garis pantai yang merentangi dari Laut Sulu ke arah barat iaitu Lautan Hindi, kita memerlukan empat pesisir platform kecil dibuat di China. Mereka akan menghantar kapal itu kepada TLDM dalam masa 2019-2020, “katanya pada masa itu.

Selepas gabungan Pakatan Harapan mengalahkan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Najib Razak, Mahathir berkata kerajaannya telah mewarisi hutang 1 trilion ringgit (AS$ 244 bilion) yang sekaligus memerlukan “pembatalan” beberapa projek seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Dengan hutang itu, jika kita tidak berhati-hati kita boleh menjadi bankrap,” katanya dalam temu bual video pada masa itu. “Ini semua dilakukan di bawah Najib.”

Bagaimanapun, empat hari kemudian, agensi berita nasional Bernama melaporkan Mahathir sebagai berkata bahawa kerajaan sedang berusaha untuk membuat rundingan semula terhadap syarat perjanjian yang ditandatangani sebelum ini.

“Kita harus ingat bahawa rundingan semula projek-projek utama seperti ECRL adalah kerana penyelewengan yang jelas dan kos yang tinggi,” kata Shahriman. Perjanjian kapal itu membawa kepada penjimatan, dakwa beliau.

“Jika tiada apa, projek itu dijangka selesai lebih awal daripada jadual, sementara penghantarannya boleh bersaing dengan pengeluar kapal perang Eropah,” katanya.

Jurucakap Kementerian Pertahanan yang dihubungi oleh wartawan BeritaBenar berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai kos perjanjian LMS.

Pada Ogos lalu, Asia Times memetik seorang felo kanan di Institut Penyelidikan Malaysia REFSA yang berkata projek itu menelan belanja wang kerajaan sebanyak RM300 juta (AS$72juta).

Hamzah Ahmad, seorang pakar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, berkata permintaan terhadap kapal itu berdasarkan keperluan semasa negara.

“LMS adalah kapal peronda tempur serba guna dan cepat. Ia lebih tangkas dan boleh bergerak pantas daripada kapal peronda tempur yang lain,” katanya kepada BeritaBenar.

“Hampir semua negara mempunyai atau mendapatkan LMS dan di rantau ini, Singapura sudah mempunyai beberapa buah. Secara strategik, LMS akan menjadi aset tambahan kepada pasukan tentera laut Malaysia. ”

Malaysia dan jiran-jirannya telah bergelut dengan perlanuan dan penculikan di sepanjang pantai, selain militan asing yang merempuh Laut Sulu ke selatan Filipina.-Benarnews.org.