Malaysia Dateline

Perjanjian kerajaan, pembangkang tergugat tanpa undi percaya

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menegaskan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) serta agenda reformasi antara kerajaan dan pembangkang berada dalam keadaan tidak menentu tanpa undi percaya di Parlimen.

Pemimpin veteran DAP itu dalam masa sama mempersoal penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya undi percaya tidak diadakan.

“Jika Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berubah fikiran dan bersetuju untuk tidak perlu adanya undi percaya di Parlimen seperti yang didakwa oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal Parlimen dan Undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengapakah perkara ini tidak dinyatakan dari awal lagi?

“Sebaliknya apa yang kita dapat adalah kenyataan luar biasa daripada Peguam Negara, Idris Harun, Sabtu lepas (4 September) dengan hujah yang tidak masuk akal yang cuba mengatakan undi percaya ini merendah-rendahkan kuasa Yang di Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.

Terdahulu, kerajaan mencapai persetujuan bersama blok pemimpin pembangkang pada 25 Ogos lalu bagi memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif.

Semalam, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, keabsahan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak perlu dipertikaikan lagi memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri adalah bawah Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu mengudang kritikan pembangkang kerana dilihat bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu bahawa Perdana Menteri yang baharu dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.