Malaysia Dateline

Perjanjian Malaysia 1963 wajar diangkat jadi agenda besar ketika ini

Hari Malaysia yang disambut pada hari ini 16 September setiap tahun merupakan salah satu tarikh penting yang perlu dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia kerana pada tarikh keramat inilah terbentuknya sebuah negara Persekutuan yang dinamakan Malaysia.

Malah dengan gabungan Tanah Melayu atau Semenanjung bersama-sama dengan Sabah dan Sarawak telah melengkapkan Persekutuan Malaysia.

Menurut Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil pembentukan Malaysia menjadikan negara ini cukup unik kerana kemajmukan pelbagai kaum yang bukan sahaja merangkumi Melayu, Cina dan India tetapi juga kaum-kaum lain seperti Bidayuh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, Bajau dan pelbagai etnik yang lain.

Jelasnya lagi, ini memperlihatkan asas pembentukan negara Persekutuan Malaysia rakyatnya terdiri daripada pelbagai segmen kaum, agama bahasa, budaya yang rencam di bawah satu negara Persekutuan.

“Berasaskan kepada konsep federalisme, kuasa pentadbiran dibahagi antara Persekutuan dan negeri-negeri yang mana termasuk Sabah dan Sarawak sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

” Sehubungan itu, bagi mengekalkan kestabilan dan keutuhan Persekutuan, sudah sewajarnya Perjanjian Malaysia 1963 dihormati dan diangkat sebagai agenda besar negara tatkala ini.

“Pakatan Harapan (PH) telah pun memulakan langkah awal meminda perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk meletakkan Sabah dan Sarawak dalam sub-Perkara tersendiri bagi memberikan pengiktirafan kepada Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung, malangnya pindaan ini gagal kerana tidak disokong oleh Barisan Nasional (BN),” tegas beliau.

Kata Faiz lagi, ketidakprihatinan BN terhadap isu rakyat Sabah semakin memuncak apabila melanjutkan Langkah Sheraton dengan mengadakan kudeta di Sabah.

Ujar beliau, cubaan kudeta ini merupakan satu langkah sang penguasa di Putrajaya yang ingin menggugat kestabilan politik dan cubaan mencabul kestabilan politik serta demokrasi rakyat Sabah.

Sejajar dengan itu kata beliau, sudah pasti rakyat Sabah yang bermaruah dan berprinsip akan membuat perhitungan yang adil bagi masa depan negeri Sabah.

“Walaupun Sabah didiami puluhan etnik, namun begitu kemakmuran yang dikecapi bertitik tolak daripada kemuafakatan semua etnik yang meletakkan perpaduan kaum sebagai asas penyatuan rakyat Sabah.

“Sabah yang tidak termakan dengan sentimen perkauman akan memacu suatu gelombang baru rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan.

“Begitupun, tidak lah mudah untuk membentuk sebuah negara Persekutuan yang didalamnya terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan juga bahasa.

“Bagi memastikan negara Persekutuan ini aman, harmoni dan stabil sudah semestinya perpaduan nasional merupakan kunci utama bagi menjamin Malaysia tidak berada pada kancah perpecahan dan ketidakharmonian,” tambah beliau.

Faiz juga menyeru supaya seluruh rakyat dalam negara ini mengenepikan sentimen perkauman dan agama sempit yang dibawa BN, PN maupun Pas yang masih lagi menggunakan sentimen tersebut bagi mengekalkan survival politik mereka.

Dengan itu katanya, setiap pihak perlu memastikan perpaduan nasional menjadi pegangan dalam mempertahankan negara ini daripada dinodai oleh aktor-aktor politik yang membawa agenda perpecahan atas nama kaum dan agama.