Perjanjian PPBM, DAP sukar dilaksana, kata Pas

Perjanjian PPBM, DAP sukar dilaksana, kata Pas

Perjanjian antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP berhubung pembentukan kerajaan pasca pilihan raya umum ke-14 sukar dilaksanakan tanpa sokongan parti lain, kata Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Abdul Samad.

Beliau berkata, jika benar wujud perjanjian itu, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana pembentukan kerajaan memerlukan pembabitan dan persetujuan banyak pihak.

“Dalam suasana politik hari ini, tidak ada parti atau gagasan parti-parti yang dapat membentuk kerajaan secara bersendirian. Perlu ada kerjasama yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad menjanjikan jawatan timbalan perdana menteri kepada DAP sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14.

Mahathir bagaimanapun semalam menafikan dakwaan itu sebaliknya berkata media tertentu memutar-belitkan kata-kata beliau mengenai DAP kononnya meminta jawatan timbalan perdana menteri jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.

Bekas perdana menteri itu menjelaskan perkara itu dalam pertemuan bersama pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pagi semalam.

Sementara itu, Iskandar berkata Pas belum lagi membuat keputusan tentang bentuk kerjasama dengan PPBM.

“Pas hanya akan bekerjasama dengan pihak yang menghormati prinsip dan dasar Pas, juga pihak yang tidak mencampuri urusan dalaman Pas,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini Pas masih menjemput pimpinan PPBM, termasuk Presidennya,Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke program mereka.

 

COMMENTS

Wordpress (0)