
Perjanjian sempadan Kelantan dan Terengganu, simbol hubungan harmoni
Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu hari ini, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Sempadan, sebagai tanda hubungan harmoni kedua-dua negeri itu dalam menyelesaikan sebarang isu untuk kepentingan bersama.
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memaklumkan, jarak keseluruhan jajaran sempadan darat antara Kelantan dan Terengganu adalah 198.7 kilometer.
Beliau berkata, ia bermula dari pertemuan sempadan antara 3 negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu di Gunung Gagau mengikut legeh utama ke Stesen Trigonometri Bukit Yong, dan berakhir di Kampung Pacakan berhampiran pantai yang berhadapan Laut China Selatan.
Katanya, penyelesaian sempadan kedua-dua negeri tersebut adalah aspek penting yang sangat dititikberatkan Kerajaan Persekutuan, kerana penentuan sempadan membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pembangunan, selain memantau daripada berlakunya pencerobohan tanah.
“Susulan pemeteraian Perjanjian Sempadan di kawasan darat antara Kelantan dan Terengganu itu, kedua-dua negeri berkenaan juga akan memulakan satu rundingan.
“Rundingan itu adalah penentuan sempadan maritim antara negeri hingga ke laut wilayah dengan memberi tumpuan kepada garisan sempadan maritim.
“Salah satu aktiviti penting yang membawa kepada perjanjian ini adalah, aktiviti penandaan dan pengukuran di lapangan.
“Kerja penandaan dan pengukuran sempadan antara kedua-dua negeri ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) selaku _competent authority_ dalam hal ehwal persempadanan mulai 2 Mac 2012 hingga 30 November 2015,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis MoU yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bersama Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Sumber Asli, Putrajaya, sebentar tadi.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Yakob menyifatkan perjanjian ini membawa banyak manfaat terutamanya daripada segi penguatkuasaan.
“Kita juga dapat mengawal sempadan kita, contohnya kalau ada orang ceroboh hutan atau tanah, dia sudah tidak boleh mengelak lagi.
“Kalau tiada sempadan yang tetap, mereka boleh masuk dari Kelantan dan lari ke Terengganu. Selain manfaat itu, tanah atau kawasan di sempadan juga dapat dibangunkan dengan baik,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS).
Ahmad Samsuri pula berkata, usaha dalam menentukan jajaran sempadan ini adalah perkara yang menjadi bahan sejarah sangat penting dan wajar diingat oleh generasi akan datang.
“Saya mewakili kerajaan Terengganu mengucapkan terima kasih kepada KATS dan juga kerajaan negeri Kelantan atas usaha yang bersungguh-sungguh dan kerjasama yang baik,” katanya.