Perjanjian Stesen Janakuasa Battersea di London akan disiasat, kata Anwar

Perjanjian Stesen Janakuasa Battersea di London akan disiasat, kata Anwar

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata satu siri pelaburan hartanah di United Kingdom (UK) yang menggunakan dana kerajaan, termasuk Stesen Janakuasa Battersea di London, akan disiasat dan dirunding semula jika wujud sebarang salah laku.

Bercakap kepada The Guardian, Anwar yang dalam rangka lawatan 4 hari ke London berkata, Stesen Janakuasa Battersea akan disiasat sebagai sebahagian pelaburan “diragui” yang dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

“Semua perjanjian ini yang dianggap mencurigakan, termasuk pelaburan dalam hartanah di London, perlu disiasat.

“Ya, itu termasuk Battersea kerana ia dibeli menggunakan dana negara. Kita perlu diyakinkan yang ini adalah keputusan pelaburan betul dan tiada pengaruh atau arahan politik (dalam Malaysia),” katanya kepada akhbar UK itu seperti dilaporkan FMT.

Stesen Janakuasa Battersea ialah sebuah bangunan perindustrian yang ditukar menjadi perumahan, pejabat dan kedai oleh sebuah konsortium Malaysia diketuai pemaju hartanah, SP Setia.

Ia dijual kepada konsortium itu pada 2012 pada harga £400 juta, dengan projek itu dijadualkan siap pada lewat 2020.

Awal tahun ini, SP Setia berkata, mereka dalam perbincangan mengenai jualan berpotensi dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk £1.6 bilion.

Cadangan itu ialah menjual fasa ke-2 projek terbabit, bangunan itu sendiri, tetapi bukan tanah di sekitarnya yang juga dalam proses dibangunkan semula.

PNB dan KWSP, yang memiliki kira-kira 70% projek itu melalui kepentingan langsung dan pegangan mereka dalam pemaju sedia ada, berkata langkah itu ialah pertimbangan pelaburan semata-mata.

Mereka berkata, jualan berpotensi itu diterokai tanpa sebarang campur tangan kerajaan.

“KWSP dan PNB adalah teguh serta komited mendukung kepercayaan ahli dan pemegang unit 2 institusi itu, juga rakyat Malaysia dan sebarang kesimpulan yang keputusan pelaburan itu dibuat atas apa-apa alasan selain manfaat rakyat adalah palsu dan berniat jahat sama sekali,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS