Malaysia Dateline

Perjanjiannya kerjasama pembangkang dan kerajaan, adakah ianya sah?

Ekoran dari berita di media ini ada soalan yang timbul. Adakah perjanjian kerjasama ini adalah sah dan boleh dikuatkuasakan?

Jujurnya, agak sukar untuk saya menjawab persoalan ini kerana saya sendiri, seperti para peguam kata, “not privy to the agreement”.

Saya tidak sempat menyaksikan apakah terma-terma yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang terkandung dalam perjanjian kerjasama yang kedua-dua pihak yang ditandatangani tersebut.

Saya hanya ada terbaca dalam laporan media di mana YB Ketua Pembangkang dilaporkan berkata tentang isu undi percaya bahawa “sokongan (tentang undi percaya) (hanya) diberikan SEKIRANYA dasar dan program dilaksanakan Perdana Menteri itu pro-rakyat dan mampu menyelesaikan isu pandemik covid-19.

Sebelum saya memberi pendapat saya dari sisi undang-undang, saya harus masukkan kaveat ini terlebih dahulu iaitu pendapat saya ini tidak boleh ditafsirkan sebagai muktamad dan wajib betul.

Dan ia juga tidak mewakili Parti Amanah atau PH dan tidak pernah pun diniatkan sebegitu. Ia sekadar pandangan peribadi saya. Itu sahaja.

Pada hemat saya, perjanjian kerjasama ini meskipun telah di “reduced into writing”, ia hanya sekadar persefahaman longgar antara beberapa pemain politik dan TIDAK berstatus sebuah kontrak yang SAH, MUKTAMAD dan ia juga TIDAK BOLEH DIKUATKUASAKAN.

Dengan kata lain, ia tidak boleh mengikat mana-mana pihak dari sudut perundangan. Lagipun tidak jelas adakah perjanjian itu sekiranya boleh mengikat sekalipun, adakah ia juga mengikat parti- parti pembangkang di luar PH?

Mengapa perjanjian tersebut, bagi saya, tidak sah?

Saya ingin bincang dari sudut pandang pembangkang dahulu ya (hakikatnya merekalah Kerajaan yang sebenarnya jika tidak berlaku pengkhianatan proses demokrasi).

Melihat kepada laporan media berkenaan kenyataan dari YB Ketua Pembangkang, bagi saya, perjanjian kerjasama itu jelas hanya bersifat bersyarat (conditional).

Justeru itu, ia menjadikan perjanjian itu tidak bersifat konklusif atau muktamad dan ia juga TIDAK SAH dan TIDAK BOLEH DIKUATKUASAKAN.

Melihat kepada senarai pelantikan barisan Kabinet PM yang diumumkan hari ini, saya amat ragu adakah syarat yang dinyatakan oleh YB Ketua Pembangkang seperti yang dilapor itu boleh diyakini mampu dilaksanakan? Saya rasa saya tidak berseorangan dalan keraguan tersebut.

Saya kongsi di sini beberapa contoh.

a. Kerajaan sebelum ini sudah diketahui umum telah gagal segagal-gagalnya menangani isu pandemik Covid-19 dengan baik dan berkesan, akan tetapi YAB PM yang sekarang ini masih boleh mengekalkan majoriti menteri dan timbalan menteri dari Kerajaan yang gagal itu dalam kabinet beliau sekarang ini. Lagipun saiz kabinet masih begitu besar. Ia memberi isyarat bahawa PM ini masih perlu lebih menjaga kepentingan rakan-rakan sekutunya dari menjaga kepentingan rakyat.

b.YB Senator yang juga mantan Menteri Kewangan yang jelas gagal memastikan moratorium ke atas pinjaman bank dapat dilaksanakan dengan jayanya- yang mengakibatkan ramai rakyat yang merana (yang tidak mustahil juga mungkin menyumbang kepada kes bunuh diri kerana tertekan) telah diambil semua untuk memasuki kabinet YAB PM dengan dikekalkan jawatan yang sama. Adakah ini boleh dikira pro rakyat?

c.Menteri Kerajaan lama yang mencetuskan fenomena ketegangan di Parlimen dan ketegangan hubungan Kerajaan dengan Institusi di Raja pun masih tetap dilantik sebagai seorang menteri. Apa mesej yang ingin disampaikan? Dan banyak lagi jika ingin disenaraikan di sini.

Dari sudut pandang Kerajaan pula, saya berpendapat mereka berkemungkinan besar merasakan sebagai Kerajaan (hakikatnya mereka adalah pembangkang jika tiada pengkhianatan demokrasi) sebarang syarat yang dikenakan oleh pihak pembangkang mungkin ditafsirkan sebagai bercanggah dengan polisi awam (public policy) lalu bercanggah dengan Seksyen 24 Akta Kontrak 1950 kerana mereka mungkin mentafsirkan seolah-olah mereka sebagai kerajaan tidak boleh secara bebas untuk membuat polisi mengikut kehendak mereka sendiri.

Tidak mustahil mereka juga menafsirkan syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak pembangkang itu ibarat satu elemen paksaan (coercion) yang menjadikan kontrak itu telah ditandatangani tidak secara bebas dan tidak juga secara sukarela. Lalu, keabsahannya mungkin boleh dipertikaikan.

Mungkin ada yang bertanya jika keabsahan status perjanjian itu diragui, kenapa kedua-dua pihak menurunkan tandatangan mereka?

Maaf, walaupun saya boleh menjawab soalan tersebut, saya rasa sewajarnya soalan itu elok ditanyakan kepada kedua-dua pihak yang berkontrak itu. Tidak manis untuk saya menjawab bagi pihak mereka.

Itu lah sekadar pandangan saya.
والله اعلم