Malaysia Dateline

Perjawatan tetap doktor: Miskin sangat ke Malaysia ni, soal Dr Rafidah

Dr Rafidah Abdullah meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengapa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) gagal untuk menerapkan doktor-doktor kontrak kepada penjawatan tetap.

Beliau berkata jika hospital kerajaan memang tidak cukup bilangan doktor kementerian sewajarnya memberi jawatan tetap kepada doktor kontrak.

“Saya penat dengan budaya cover sana sini. Kalau tak cukup doktor, just give the doctors the job. Permanent posts. Apa yang susah sangat?

“Sebagai contoh, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan menetapkan sasaran nisbah doktor kepada penduduk iaitu 1:400 pada 2025 berbanding 1:450 dalam RMKe-11. Bagi 2030, nisbah doktor kepada penduduk yang diunjurkan ialah 1:360,” petikan pelbagai artikel,” katanya dalam satu posting di facebooknya.

Katanya, jika benar unjuran keperluan doktor oleh KKM mengapa kerajaan atau JPA tidak menyediakan perjawatan tetap mengikut unjuran tersebut.

“Kenapa doktor terpaksa diambil secara kontrak dengan ketidaktentuan melanjutkan pengajian kepakaran dan lain-lain kemudahan?” soalnya.

Terdahulu, KKM menjelaskan unjuran keperluan doktor di negara ini dibuat mengikut Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).

KKM menyangkal dakwaan Gerakan Hartal Doktor Kontrak berhubung ketiadaan unjuran mengenai jumlah doktor yang perlu diserap ke perkhidmatan tetap.

Sebagai makluman, KKM telah pun mempunyai unjuran keperluan doktor di dalam negara yang disediakan mengikut Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Tegas Rafidah jika nisbah 1:400 yang disasarkan kerajaan ini bermakna jumlah doktor di sektor awam masih tidak mencukupi.

“Berapa tambahan perjawatan yang diperlukan bagi KKM memenuhi unjuran ini?

“Dan berapa implikasi kos yang terlibat? What are you doing about this? Where are the statistics and paperwork? Transparent, please,” katanya lagi.

Justeru beliau meminta Kementerian Kewangan secara telus menjelaskan adakah tidak mampu menanggung implikasi kos ini demi kesejahteraan dan kesihatan masyarakat pada masa depan.

“Miskin sangat ke Malaysia ni?

“Kalau kerajaan tidak mahu menjelaskan kepada kami, jelaskanlah kepada rakyat,”katanya lagi sambil menghargai tanggungjawab doktor kontrak yang sentiasa bekerja keras untuk rakyat.

Hari ini Utusan melaporkan Gerakan Hartal Doktor Kontrak merancang meletak jawatan secara besar-besaran menerusi siri mogok kedua di seluruh negara pada Disember ini, jika baki 22,288 doktor berkenaan tidak diserapkan ke jawatan tetap oleh kerajaan.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, pihaknya akan menggerakkan doktor kontrak yang belum ‘diiktiraf’ dengan membawa plakad bermesej ‘letak jawatan’.