Malaysia Dateline

Husam menyerahkan borang sertai Amanah kepada Mohamad Sabu 30 Ogos lepas.

Perjuangan belum selesai

(Rencana Sempena Ulang Tahun Kelahiran YB Tuan Hj Mohamad Sabu dan YB Datuk Hj Husam Musa)

Pada setiap kali 14 Oktober muncul, akan muncullah ucapan ulang tahun kelahiran buat Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) iaitu Mohamad Sabu dan juga buat Datuk Husam Musa selaku Ketua AMANAH Kawasan Kota Bharu. Secara kebetulan atau tidak, tarikh yang sama mereka berkongsi untuk menyambut kelahiran menjadikan laluan politik mereka hampir secara bersama-sama. Masyarakat umum mengetahui bahawa mereka berdua merupakan bekas pemimpin Pas yang tersingkir secara terancang. Namun umum tidak mengetahui perjalanan mereka dari muda hinggalah menjadi pimpinan Pas.

Saya tidak mahu menulis panjang tentang perjalanan politik mereka di dalam Pas tetapi hanya beberapa tempat sahaja yang ingin saya sentuh dalam rencana ini. Awal hingga pertengahan tahun 90 an, Mohamad Sabu dan Datuk Husam telah menjadi pimpinan utama Dewan Pemuda Pas pusat bersama-sama Datuk Hj Mahfuz Omar yang kini Naib Presiden AMANAH. Mereka bukan menjadi pimpinan biasa sahaja di dalam Pemuda Pas, tetapi merekalah yang menggerakkan pelbagai program perkaderan di dalam Pemuda Pas. Apa yang ada di dalam PAS sekarang ini, sedikit sebanyak dari buah fikir kepimpinan mereka berdua bersama pasukan mereka. Mereka berperanan sangat besar sehinggalah berada di puncak kepimpinan Pas.

Yang menariknya, pada tahun 2007 hingga 2009, Mohamad Sabu dan Datuk Husam pernah bersama dalam satu saf kepimpinan Pas Pusat sebagai naib presiden. Ketika itu bagi pandangan saya, saf kepimpinan Pas mencapai tahap yang paling baik apabila golongan profesional dan agamawan dapat disatukan dalam kepimpinan. Saf kepimpinan ini tidak bertahan lama, apabila pada tahun 2009, mereka berdua telah menyatakan kesedian untuk bertanding menentang penyandang jawatan Timbalan Presiden Pas ketika itu iaitu Ustaz Nasharudin Mat Isa (Datuk Dr.). Pertarungan 3 penjuru itu yang diadakan di Stadium Melawati Shah Alam dikatakan ada kaitan dengan usaha-usaha Pas ingin bekerjasama dengan Umno pasca PRU Ke-12. Akhirnya pertarungan itu dimenangi oleh penyandangnya Ustaz Nasha. Boleh dikatakan pemilihan itu merupakan permulaan kepada perpecahan golongan profesional dan agamawan dalam Pas.

Setelah mereka berdua berehat sepenggal sebagai AJK Pas Pusat, mereka kembali dalam saf kepimpinan Pas apabila Mohamad Sabu berjaya memenangi jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas menewaskan penyandang dan calon baru Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Manakala, Datuk Husam terpilih 3 antara Naib Presiden Pas.

Apa yang ditekankan di sini bahawa, mereka berdua bukanlah mentah dalam perjuangan gerakan Islam ini. Mereka telah dilatih dan menghadapi banyak dugaan dalam politik terutamanya membawa nama Islam. Ramai ustaz-ustaz Pas kini memperlekehkan pimpinan AMANAH termasuk mereka berdua tiada kelayakkan untuk membawa gerakan Islam di Malaysia kerana mereka tiada kelulusan agama. Tetapi mereka lupa bahawa Mohamad Sabu dan Datuk Husam lah yang memimpin mereka dahulu dan meletakkan Pas berada dalam arus politik Malaysia.

Kini setelah mereka memimpin AMANAH, perjuangan itu belum selesai buat mereka. Walaupun AMANAH pernah menjadi kerajaan 22 bulan, tetapi mereka berdua termasuk pasukan mereka harus meneruskan perjuangan memposisikan AMANAH dalam masyarakat. Perjalanan masih panjang buat AMANAH, ilmu dan kemahiran mereka berdua bersama pasukannya amatlah diperlukan ketika ini.

Hal ini kerana, dalam persimpangan politik Malaysia yang sedang kelam kabut ini, perlunya pemimpin yang boleh membawa AMANAH bersama dalam arus itu dan mengambil peluang yang ada tanpa merobek prinsip perjuangan. Peluang yang diambil itu mampu mendatangkan manfaat pada AMANAH untuk berkembang lebih pesat lagi. Dalam jangka masa panjang AMANAH mampu terus hidup dan berjuang.

Mohamad Sabu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mengurus politik semasa. Kemahiran inilah yang harus dipertahankan bersama demi kelangsungan AMANAH. Perjalanan yang begitu panjang membolehkan Mohamad Sabu membaca politik dengan lebih tajam lagi. Pengalaman beliau bersama Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor menjadi asas penting buat beliau memimpin AMANAH.

Datuk Husam Musa pula perlu berada dalam arus kepimpinan AMANAH atas kapasitinya sebagai seorang jururunding yang baik. Politik itu harus digerak bersama-sama dengan sebarang kepentingan. Oleh itu, perlunya seseorang yang mempunyai gaya diplomasi yang bagi memastikan gerak politik tercapai. Maka Datuk Husamlah antara orang yang mahir dalam bab ini. Didikan yang diberikan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah terpahat dalam perjuangan beliau.

Akhirnya perjuangan ini belum selesai, kekallah memimpin kami bersama Datuk Salahudin Ayub, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Dr.Mujahid dan lain-lain lagi. Kalian telah membuka jalan buat kami anak muda memimpin parti Islam yang lebih sederhana dan inklusif. Pimpinlah kami, bawalah kami bersama-sama dalam perjuangan ini.

 

Penulis adalah AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor, Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak