Malaysia Dateline

“Perjuangan masih belum selesai” – Mahathir jawab persoalan ramai mengapa masih bertanding PRU-15

Kelmarin, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan bertanding mempertahankan Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Banyak cakap-cakap yang mempertikai mengapa Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) ini masih mahu bertanding pada usia 97 tahun.

Susulan itu, Mahathir tampil memperjelas bahawa baginya, umur panjang memberikan beliau peluang untuk terus berjuang.

Tidak ada perjuangan yang lebih baik selain dari berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air, katanya.

“Saya percaya perjuangan tersebut juga adalah satu ibadah seperti mana saya diwajibkan melakukan ibadah samada di masjid mahupun ibadah-ibadah yang lain.

“Saya percaya perjuangan itu satu ibadah dan tidak ada persaraan apabila melaksanakan ibadah. Ini termasuklah meneruskan perjuangan.

“Sebagai pemimpin, saya tidak boleh duduk mengarah dan menyuruh orang melakukan sesuatu tanpa saya sendiri turut melakukannya,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.

Tambah Mahathir, jika beliau mahu orang lain berjuang menentang kleptokrat dan penyamun-penyamun negara, beliau mesti turut serta.

“Selagi hidup, saya akan terus berjuang. Dan perjuangan ini masih belum selesai,” katanya lagi.

Gerakan Tanah Air (GTA) mempertaruhkan lebih 120 calon mewakili gabungan itu.

Mahathir memenangi kerusi Parlimen Langkawi pada PRU14 pada 2018 di bawah Pakatan Harapan.