Perjuangan Parti Putra tiada hala tuju?

Perjuangan Parti Putra tiada hala tuju?

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau Putra kini berada dalam persimpangan yang amat sukar, sama ada ingin bersama dengan BN dan Pas atau bersendirian dengan menyalakan api perjuangan Melayu dan Islam atau pun menanti peluang menjelang pilihan raya umum ke-15 yang akan datang.

Paling jelas, parti tersebut kini ketandusan pemimpin baru mahupun lama yang mampu untuk membuat pergerakan politik kuasa ketiga.

Sulaiman Ibrahim

Sulaiman Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawak.

Demikian dinyatakan oleh Sulaiman Ibrahim yang lebih dikenali sebagai Leman Raja Lawak.

Beliau yang juga merupakan aktivis AMANAH turut berkata, walaupun terdapat begitu ramai dikalangan ahli dan pemimpin Putra, tetapi ianya belum lagi menampakkan tokoh yang akan ke hadapan kecuali hanya Datuk Ibrahim Ali.

Sehubungan itu ujarnya, penubuhan Putra disebalik konflik Umno, Pas dan pemerintahan baru Pakatan Harapan (PH) hanyalah sebagai umpan tarikan golongan yang kecewa dan tidak mahu untuk bersama BN, Pas ataupun PH.

“Persoalannya kini, kemana ingin Ibrahim Ali membawa parti dan ahlinya yang begitu ketara tiada hala tuju sebenar khususnya bagi golongan muda.

“Ianya bukan sahaja membabitkan soal hala tuju parti, sebaliknya hala tuju Islam Melayu dan juga masa depan negara.

“Lebih terserlah ia dilihat hanyalah sebagai parti ‘pengacau’ menjelang PRU ke-15 yang akan datang, ” tegas Leman yang juga mantan Ketua AMANAH kawasan Sik.

Malah kata Leman lagi, menjelang PRU yang akan datang, apakah Putra akan bergabung bersama PH maupun BN atau apa jua gabungan yang akan dijenamakan selepas ini.

Yang pasti tambahnya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, sudah pasti warna-warni kepelbagaian kepartian adalah hak rakyat untuk memilih mana-mana parti yang didokong.

“Namun begitu, apa yang diperlihatkan membuktikan bahawa Putra tidak mampu menjadi kuasa politik ketiga walaupun ia dipimpin oleh pemimpin yang berpengalaman kerana rakyat negara ini membuat pilihan untuk perubahan yang hendak dibawa.

“Rakyat juga bukan memilih mereka yang hanya pandai berpolitik, sebaliknya reformasi dasar serta polisi yang mampu di bawa sepertimana yang dilakari oleh PH kini.

“Justeru itu Putra harus membuktikan kemampuan mereka untuk membawa perubahan yang diharapkan khususnya oleh golongan muda dan bukan hanya setakat mencambahkan lagi kuantiti parti politik dalam negara menjelang PRU ke 15, ” saran beliau lagi.