Malaysia Dateline

Perjuangan pindaan MA63 hasil usaha Pakatan Harapan

Perjuangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang meletakkan Sarawak setaraf Semenanjung serta mengiktiraf MA63 seiring Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957 adalah hasil daripada usaha Pakatan Harapan (PH).

Justeru, menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit, adalah tidak wajar jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil kredit yang berlebih dengan kejayaan itu.

“GPS diketahui umum tidak banyak berusaha memperjuangkan MA63. Malah perjuangan ke arah mengiktiraf MA63 di sisi Perlembagaan lebih banyak dilakukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti pembangkang lain di Sarawak.

“Percubaan untuk meminda Perlembagaan pertama kali pada 2019 oleh kerajaan PH tidak mendapat sokongan GPS pada masa itu.

“Namun usaha itu diteruskan dalam Memorandum Kerjasama (MoU) antara PH dan Kerajaan Persekutuan yang ditandatangani pada 13 September lalu yang meletakkan salah satu fokus kepada pindaan Perlembagaan MA63.

“Dengan demikian, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan blok PH hakikatnya sudah lama memperjuangkan isu MA63 untuk rakyat Sarawak dan Sabah.

“Ini kerana Isu MA63 merupakan agenda utama dalam MoU anyara blok PH dengan kerajaan PN pada bulan September lalu.

“Dan kita harus ingat pada 2019, apabila kerajaan PH berusaha untuk membuat pindaan MA63, blok GPS telah menolak pindaan tersebut.

“GPS gagal memberikan alasan munasabah di atas penolakkan tersebut. Namum pada hari ini, ahli parlimen GPS yang sama menyokong pindaan tersebut setelah isu ini banyak diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin PH,” tegas Abun Sui dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau tetap menyambut baik pindaan yang berjaya dilakukan pada 14 Disember lalu.

“Saya harap pindaan ini jangan dipergunakan oleh rejim yang rakus dan korup untuk terus menekan rakyat Sarawak dan memperkayakan pemimpin elit dan kroni sebagaimana sebelum ini.

“Kuasa MA63 harus diberi kepada rakyat untuk memperkasakan komuniti akar umbi dan bukan di tangan pemimpin yang hanya menjaga kepentingan sendiri

“Selama lebih lima dekad, kekayaan Sarawak telah dimonopoli oleh beberapa keluarga pemimpin, kroni dan tauke balak. Sarawak amat kaya dengan sumber semulajadi dan tanah yang luas. Namun ia adalah antara tempat yang paling miskin di Malaysia.

“Selain itu, Sarawak juga sering dibelenggu projek sakit dan terbengkalai terutamanya dalam pembinaan klinik, hospital dan sekolah. Walaupun rakyat dijanji peruntukan berbilion-bilion untuk pembangunan, namun selepas masa 10 atau 20 tahun, projek-projek tersebut terus gagal diselesaikan,” tegas beliau lagi.