Malaysia Dateline

Perjuangan tuntut kemerdekaan bukan bermula dengan Umno

Saya menonton hingga tamat wacana ini pada 26 Februari lalu. Satu wacana yang katanya ilmiah untuk merasionalkan dakwaan bahawa buku teks sejarah tingkatan 4 mengangkat komunisme dan pejuang berhaluan kiri.

Saya Ketua Program Ijazah Sarjana Pendidikan Sejarah di universiti tempat saya bekerja sekarang. Alhamdulilah, telah menghasilkan ratusan graduan sarjana pendidikan sejarah sejak tahun 2000.

Kebanyakan graduan ini adalah guru Sejarah yang sedang berkhidmat di sekolah menengah. Kami saling berhubung dan berbincang tentang pendidikan sejarah sekolah.

Saya juga pernah terlibat dengan pelbagai jawatankuasa pengubalan kurikulum sejarah tingkatan 1-5 dan pengubalan kurikulum sejarah sekolah rendah di bawah KPM.

Pernah jugalah dilantik sebagai jawatankuasa merangka silibus sejarah dan menghasilkan DSKP Sejarah sekolah menengah. Pernah juga dilantik beberapa kali sebagai panel penilai buku teks sejarah oleh pihak DBP.

Kena cerita juga serba sikit apa yang saya tahu supaya orang tidak kata sekadar memandai-mandai bagi komen pasal isu buku teks Sejarah ini.

Apa pandangan saya tentang wacana ini?

Pertama, ada beza besar antara niat mencari kesalahan dengan niat mencari kebenaran. Jika kita dengar, seolah-olahnya banyak sekali kesalahan yang dilakukan oleh penulis buku teks sejarah dan pakar rujuk yang dilantik oleh KPM.

Saya beri satu contoh. Dikatakan oleh ahli panel mengapa perjuangan golongan kiri tidak perlu dimasukkan dalam buku teks Sejarah kerana mereka adalah pihak yang kalah dalam berjuang, yang menang adalah Umno apabila British menyokong cadangan Persekutuan 1948 dan menolak Perlembagaan Rakyat 1947.

Maksudnya sejarah dalam buku teks pada ahli panel adalah sejarah kumpulan yang menang. Pada ahli panel adalah salah untuk masukkan kisah perjuangan orang kalah dalam buku teks Sejarah. Kumpulan yang kalah dalam berjuang tiada tempat dalam pengisahan sejarah nasional. Itu hujah ahli panel terlibat.

Jadi ini soalan balas saya;

Bagaimana pula dengan kisah kekalahan semua nasionalis Melayu sebelumnya? Dol Said kalah berjuang di Naning, Tok Janggut kalah di Kelantan, Tok Bahaman kalah di Pahang, Dato Maharaja Lela kalah di Perak, Rentap kalah di Sarawak, Mat Salleh kalah di Sabah. Sultan Melaka kalah kepada Portugis, Jepun pula kalah pada British.

Mengapa masukkan kisah perjuangan orang kalah dalam buku teks? Bukankah kisah kejayaan sepoi-sepoi Inggeris dan orang Melayu yang memihak pada pihak penjajah sehingga berjaya menewaskan para nasionalis Melayu ini yang patut diangkat?

Jika soal menang atau kalah menjadi alasan, tiadalah sejarah perjuangan nasionalisme awal di negara ini.

Sejarah yang benar bukan soal siapa menang atau siapa yang kalah. Bukan. Tapi sejauhmana kisah sejarah tersebut boleh mengukuhkan rasa sayang anak bangsa pada pengorbanan pejuang terdahulu.

Rasa bangga dan patriotik atas pengorbanan pejuang dahulu, tanpa mengira yang berhaluan kanan atau kiri. Asalkan mereka bukan musuh negara. Itupun jika kita mahu jujur dalam mencari kebenaran dari sejarah. Itupun jika kita mahu anak-anak kita belajar tentang kebenaran sejarah.

Jadi, hujah yang dibawa oleh panel bahawa sejarah haluan kiri tidak perlu dimasukkan kerana mereka adalah kumpulan yang kalah adalah hujah dangkal dari perspektif penteorian ilmu pendidikan sejarah.

Kedua, panel tidak menyatakan di manakah berlakunya kesalahan fakta sejarah di dalam buku teks Sejarah tersebut. Tidak ada satu pun dinyatakan secara tepat.

Jika benar ada kesalahan fakta, saya juga tuntut buku teks Sejarah ini ditarik semula. Tapi apa yang kita dengar, yang dinyatakan sebagai fakta salah hanyalah sekadar tafsiran beliau sendiri. Misalnya bahawa Umno tidak ditonjolkan sebagai pihak yang berjaya memperjuangkan kemerdekaan dalam bab enam.

Saya pernah terlibat sebagai panel dalam pembinaan silibus kurikulum Sejarah sejak tahun 2004 lagi. Ketika itu pegawai unit kurikulum Sejarah KPM ialah Puan Maharom Mahamud (sudah pencen sekarang) dan salah seorang pegawai unit Sejarah yang bekerja rapat dengan saya ialah Puan Zamani Abdul Hamid (sekarang Datin Seri Timbalan Pengarah Pelajaran Malaysia).

Ketika itu, pejabat Pusat Perkembangan Kurikulum (nama lama BPK) pun masih di Jalan Duta Kuala Lumpur. Belum di Putrajaya.

Apabila kami membina silibus Sejarah, kami wajib melakukan pelataan atau penjajaran isikandungan sejarah. Kalau bab 6 ialah ancaman komunis, tentulah sumbangan Umno tidak dibincangkan di situ.

Tengoklah di bab tentang perjuangan Umno menuntut kemerdekaan. Pelataan atau penjajaran kurikulum adalah amalan dalam rekabentuk kurikulum.
Tujuannya supaya tidak ada tindanlapis, mencakupi matlamat kurikulum, utamakan kronologi, tiada perulangan dan mesti berlaku perkaitan antara bab dengan bab yang lain.

Mengapa pula sumbangan Umno perlu ada dalam bab ancaman komunis? Nanti akan ada bab khusus bincangkan perjuangan Umno.

Ketiga, disebut oleh panel, mengapa di dalam Bab 6, kisah serangan komunis diangkat dalam buku teks Sejarah ini? Siap dengan bilangan serangan, tarikh dan tempat di mana serangan komunis itu berlaku?

Kata beliau lagi, sedangkan kisah tentera dan polis tidak diangkat pula. Saya tahu hujah beliau salah tetapi saya ambil masa semak semula semua muka surat dalam bab 6 tersebut.

Ini komen saya.

Bab itu tajuk besarnya “Ancaman Komunis dan Pengisytiharan Darurat”. Dari 26 mukasurat dalam bab ini, hanya 7 mukasurat mengisahkan latar dan kekejaman komunis. Manakala 19 mukasurat yang lain mengisahkan usaha kerajaan, tindakan pasukan polis, tentera dan masyarakat menentang penganas komunis.

Pada mukasurat 151, ada satu grafik yang menyatakan serangan komunis dengan secara tepat, siap diberikan tarikh dan tempat sekali. Mengapa?
Supaya kita tidak mahu ada pihak lain yang boleh kata betul ke komunis ni jahat sangat? Bahaya sangat ke penganas komunis ni? Apa buktinya? Sebab itu secara berfakta ada tarikh, tempat dan bilangan serangan komunis yang telah dinyatakan dalam bab ini.

Itu bukan untuk angkat komunis, ini nak buktikan pada pelajar yang penganas komunis kejam dan sangat mengancam keselamatan negara, dan ini akan dikaitkan untuk menjelaskan mengapa darurat 1948 telah dilaksanakan.

Tiada satupun di dalam mana-mana bahagian buku teks Sejarah ini menafikan sumbangan Umno di dalam memperjuangkan kemerdekaan.
Memang benar, sumbangan Umno besar sekali dalam sejarah kemerdekaan negara kita. Tetapi bukan Umno sahaja yang mahu negara ini merdeka. Semua pihak yang sayangkan negara juga ingin negara ini merdeka. Ini juga sejarah yang benar.

PKMM, API, AWAS dan berbelas persatuan yang lain juga ada sumbangan mereka dalam menuntut kemerdekaan dari penjajah. Dan mereka yang berhaluan kiri ini bukan semuanya komunis. Umno juga pernah berkerjsama dengan sebahagian besar dengan mereka yang berhaluan kiri.

Perlu diketahui, Umno wujud pada 1946, sedangkan perjuangan menuntut kemerdekaan oleh golongan berhaluan kiri telah bermula lebih awal, malah telah bermula sebelum perang dunia kedua lagi melalui Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebelum diharamkan.

Perjuangan menuntut kemerdekaan bukanlah bermula dengan Umno sahaja. UMNO bersama dengan banyak lagi pihak yang lain bersama memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Itu sejarah yang sebenar.

Menyembunyikan kebenaran sejarah adalah satu ‘jenayah ilmu sejarah’. Membiarkan anak-anak mempercayai sejarah yang pincang dan berat sebelah sebenarnya jauh lebih buruk dari membiarkan mereka tidak mengetahui sejarah itu langsung.

Nota Tambahan: Ada seorang lagi panel yang saya tidak faham sangat hujung pangkal apa yang cuba dibincangkan. Asyik dengan ‘tangan ajaib’ dari awal sampai akhir. Mungkin beliau ada hujah sendiri tapi saya yang tak sampai untuk memahaminya. Jadi, ‘no comment’ dari saya.

*ANUAR AHMAD merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).