Malaysia Dateline

Perjumpaan ketua-ketua parti Disember ini, bincang RUU Anti-Lompat Parti

Satu perjumpaan akan diadakan bersama ketua-ketua parti pada December depan bagi membincangkan tentang cadangan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Lompat Parti.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Beliau berkata, satu kaji selidik juga telah dibangunkan oleh JPM bagi mendapatkan pandangan meluas dari orang awam berkaitan akta tersebut.

“Satu kajian soal selidik telah dibangunkan oleh JPM bagi mendapatkan pandangan dari Ahli-ahli Parlimen dan orang awam berkaitan akta lompat parti.

“Soal selidik boleh dijawab orang awam dan Ahli-ahli Parlimen mulai 23 November hingga 7 December 2022,” katanya.

Beliau berkata, dapatan daripada hasil kajian tersebut boleh membantu untuk mendapatkan pandangan orang ramai berkaitan isu lompat parti.

Isu akta lompat parti merupakan antara desakan yang dibangkitkan pemimpin-pemimpin politik agar kerajaan segera menggubal akta tersebut bagi membendung sikap melompat parti.

Pada Mac 2020, kerajaan Pakatan Harapan tumbang selepas Bersatu menarik diri keluar dari gabungan tersebut.

Sebahagian besar ahli PKR juga keluar dari PH untuk menyokong Perikatan Nasional.

Lompat parti berlaku secara besar-besaran ketika itu dengan satu persatu kerajaan negeri di bawah PH tumbang.