Perjumpaan Pas-PPBM hanya sembang-sembang, Tuan Ibrahim akui tiada mandat

Perjumpaan Pas-PPBM hanya sembang-sembang, Tuan Ibrahim akui tiada mandat

Delegasi Pas yang diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hanya bertindak sebagai jawatankuasa perunding dalam pertemuan dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelmarin, dan tidak mempunyai mandat untuk membuat sebarang keputusan berhubung soal kerjasama kedua-dua parti tersebut.

Delegasi Pas yang diketuai Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hanya bertindak sebagai jawatankuasa perunding dalam pertemuan dengan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelmarin, dan tidak mempunyai mandat untuk membuat sebarang keputusan berhubung soal kerjasama kedua-dua parti tersebut.

Sehubungan itu, beliau dalam kenyataannya semalam memberitahu tiada sebarang keputusan muktamad dibuat mengenai hubungan Pas dan PPBM.

Menurutnya, segala cadangan hasil perbincangan itu akan dikaji dan diteliti oleh Jawatankuasa Teknikal Bersama seterusnya dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk diputuskan.

“Sebagaimana amalan dalam semua kerjasama politik (tahaluf siyasi) yang dibuat sebelum ini, begitulah juga dalam hubungan dengan PPBM, Pas akan menyerahkan kepada Majlis Syura Ulamak Pas,” ujarnya dipetik daripada kenyataan beliau semalam.

Menurut Tuan Ibrahim,  badan tertinggi yang memandu parti itu akan membuat keputusan berhubung kerjasama politik bersama PPBM dengan meneliti aspek syarak sama ada boleh diteruskan atau sebaliknya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr Mohd Zuhdi Marzuki dilapor menyifatkan kerjasama Pas dan PPBM ‘masih jauh’ untuk terlaksana.

Beliau berkata, semua cadangan kerjasama daripada PPBM perlu terlebih dahulu diteliti oleh Jawatankuasa Pas Pusat sebelum dibawa ke Majlis Syura Ulamak (MSU).

“MSU adalah badan yang mempunyai kata akhir untuk membenarkan kerjasama itu atau tidak,” ujarnya.

Kelmarin, Pas dan PPBM bertemu dalam hasrat Presiden parti berlogokan bunga raya itu untuk mencapai kesepakatan satu lawan satu menentang BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Walau bagaimanapun, banyak pihak melihat usaha PPBM itu tidak lebih membuang masa memandangkan sikap Pas yang mahu menjadi “king maker” dalam politik negara.

Bahkan, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga menegaskan Pas tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan Amanah dan DAP.

PPBM sebelum ini telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan dan kerjasama tersebut disahkan sendiri Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan diteruskan.

TAGS