Malaysia Dateline

Perkampungan Ummah diserahkan menerusi Misi Palu Fasa Kedua

Kumpulan Misi Palu Fasa Kedua yang diketuai Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), hari ini memulakan langkah ke negara jiran, Indonesia bertujuan merasmikan penyerahan Perkampungan Ummah yang telah siap dibina, sekali gus meringankan beban mangsa gempa bumi di sana.

Misi selama 3 hari bermula hari ini hingga Jumaat turut disertai oleh agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Agama) antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) yang telah menghulurkan sumbangan mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Perkampungan Ummah tersebut akan diserahkan kepada pemerintah tempatan dan juga majlis pecah tanah pembinaan empat buah masjid baharu yang telah mengalami kerosakan teruk di sekitar Balaroah, Tondo, Birobuli dan Disilae.

“Jumlah keseluruhan bantuan tersebut adalah bernilai RM1 juta. Misi ini antara lain bertujuan membantu meringankan beban masyarakat setempat yang masih lagi memerlukan kemudahan prasarana.

“Prasarana-prasarana tersebut adalah seperti rumah dan masjid dan misi ini digerakkan atas dasar kemanusiaan dan nilai-nilai rahmah yang diajar dalam Islam.

“Untuk makluman, Misi Palu Fasa Kedua ini merupakan kesinambungan daripada Misi Bantuan Kemanusiaan yang telah dilaksanakan pada 15 hingga 22 November tahun lalu hasil sumbangan agensi-agensi agama di bawah JPM dan masjid-masjid utama di bawah Jakim,” katanya dalam ucapan sempena pelepasan kumpulan Misi Palu Fasa Kedua, di Jakim, Putrajaya, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu adalah, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail.

Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery, berkata Gabenor Palu telah memberi maklum balas bahawa Perkampungan Ummah tersebut merupakan perkampungan yang terbaik.

“Ini kerana, model rumah itu sangat selesa dan mengikut konsep syariah iaitu tandas dan bilik di dalam rumah serta ianya lebih tersusun.

“Mapim mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Malaysia (Datuk Seri Dr Mujahid) atas usaha yang begitu dedikasi dan mengambil maklum apa yang terjadi kepada saudara kita di Palu.

“Sememangnya seawal hari ketiga kami sampai di Palu, kami dapat lihat bagaimana mereka ini terputus hubungan dengan dunia luar, tidak ada makanan, bantuan air, dan ketika kerajaan Malaysia membuat satu usaha mengumpul dana kepada mereka ini, ia adalah satu usaha yang luar biasa,” ujarnya.