Malaysia Dateline

Perkampungan Ummah Malaysia beri sinar baharu buat masyarakat Palu

Pembinaan Perkampungan Ummah Malaysia di bandar ini dilihat memberi sinar baharu buat mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi Tengah, 28 Sept lalu.

Perkampungan yang dikelolakan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu merupakan projek julung kali diadakan dan antara inisiatif terbesar dalam misi bantuan kemanusian dari Malaysia ke kawasan yang terkesan akibat musibah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata berdasarkan perkembangan semasa, pihaknya yakin pembinaan perkampungan yang baru bermula empat hari lepas di wilayah Ulujadi itu dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan pada pertengahan bulan depan.

“Alhamdulillah, projek ini menunjukkan perkembangan positif. Walaupun baru empat hari ia dijalankan tetapi struktur tiang serta dinding rumah telah siap dibina,” katanya selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan perkampungan itu hari ini.

Perkampungan Ummah Malaysia yang dibina dengan anggaran kos RM1 juta itu bakal dilengkapi dengan 100 rumah, masjid, dapur umum, pompa (perigi) air serta kawasan permainan kanak-kanak.

Mujahid berkata inisiatif itu dilihat mampu mengurangkan penderitaan yang dialami mangsa kerana tempat berlindung seperti khemah sementara telah mula rosak.

Beliau berkata terdapat rancangan mewujudkan ‘gelombang kedua’ untuk membina lebih banyak penempatan seumpama itu di beberapa lokasi yang akan dikenal pasti kelak.

Kejadian gempa bumi kuat dan tsunami itu dilapor mengorbankan nyawa sekurang-kurangnya 2,000 penduduk.

— BERNAMA