Malaysia Dateline

Perkara pertama yang diumum MB Kedah pertimbang konsesi balak

Selepas seminggu mengambilalih pentadbiran negeri Kedah, Menteri Besar baharu, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan untuk mempertimbangkan bagi membuka semula konsesi balak yang pernah dibatalkan Pakatan Harapan (PH).

Memetik laporan portal Berita Harian Online, ia untuk mengelakkan kerajaan negeri dari membayar tuntutan hampir RM1 bilion yang dikemukakan oleh 40 buah syarikat pembalakan sebelum ini.

Difahamkan, syarikat terbabit sebelum ini dibatalkan konsesi mereka berikutan keputusan kerajaan negeri pimpinan PH yang mewartakan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

“Tuntutan itu agak besar, jadi kalau boleh diganti tempat (kawasan pembalakan) yang tidak menjejaskan alam sekitar dan tidak mendatangkan kerosakan kepada orang ramai, kita akan ganti.

“Mereka sudah bayar premium, jadi tak adil untuk mereka. Saya tidak boleh lari daripada keputusan (pembatalan konsesi) kerajaan yang sudah ada ikatan undang-undang, namun perkara ini boleh diselesaikan,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman hari ini.

Dalam pada itu, pengumuman tersebut mendapat pelbagai reaksi orang ramai yang mempertikaikan keputusan Adun Pas itu.

“Baru naik MB terus nak tarah balak gelojoh noh. Jangan buat malu kerajaan PN. Cari lah hasil lain takkan nak diharapkan balak saje. Ingat balak tu tanam hari ini esok dah besar ke pokoknya. Fikirlah benda lain,” tulis pengguna Asyraf Ghazali.

Pengguna Facebook, Mohd Shah Rim pula menggambarkan apa yang berlaku ketika ini meletakkan nasib Kedah di bawah pimpinan kerajaan Pas yang dilabel telah ‘menunggang agama’.

“Beginilah nasib Kedah di bawah kerajaan penunggang agama, Pas. Balak pun dijadikan mangsa kerana kerakusan duniawi. Rakyat Kedah, bangkitlah, katakan tidak pada Pas,” tulisnya.

Mohamad Fazli Othman pula berkata, “Akhirnya apa yang mantan MB, Mukhriz Mahathir cakap sehari sebelum letak jawatan benar-benar berlaku. Lebai dan balak tak dapat dipisahkan,” tulisnya.

“Menteri Alam Sekitar pun orang Pas, maka adalah dalil Quran esok yang akan menghalalkan pokok ditebang, dari hidup menanggung hutang,” tulis Borhan A Ghaffar.

Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah itu dilantik menjadi Menteri Besar Kedah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir berikutan beberapa Adun dan Exco Bersatu yang menyokong pentadbiran Perikatan Nasional di negeri itu

Muhammad Sanusi mengambil alih kepimpinan negeri pada 17 Mei lalu setelah 23 Adun menandatangani pernyataan berkanun untuk mengatakan bahawa mereka telah kehilangan kepercayaan ke atas Mukhriz Mahathir.