Perkarangan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti dibuka hari ini

Perkarangan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti dibuka hari ini

Kawasan perkarangan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti dekat sini akan dibuka untuk kunjungan orang ramai mulai hari ini, manakala pembukaan sepenuhnya muzium itu dijadualkan pada 1 September ini.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia akan dibuka sepenuhnya kepada orang ramai selepas kerja-kerja susun atur dan kemas kini ruang pameran serta galeri muzium disiapkan.

Beliau berkata projek pemuliharaan dan naik taraf muzium yang bermula pada 25 Nov 2016 dan siap pada 23 Mac lepas itu melibatkan kos RM4.5 juta, yang dibiayai menerusi peruntukan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Kerja-kerja pemuliharaan dan naik taraf muzium itu dijalankan oleh kontraktor NTQT Sdn Bhd dan dikawal selia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek itu di Kuala Pilah pada Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Isham Ishak;  Pengarah JKR Negeri Sembilan Datuk Abdul Karim Mohd Tahir dan Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan Shamsudin Ahmad.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti ditutup pada Januari 2015 setelah kontraktor mengesan beberapa kerosakan pada empat tiang seri di istana lama itu yang berusia lebih 100 tahun, berpunca daripada faktor cuaca.

Kerosakan pada tiang seri itu mula dikesan ketika kerja pemuliharaan fasa pertama yang dimulakan pada tahun 2014 iaitu membaik pulih muzium, dan sebaik sahaja kerajaan negeri mengetahui mengenai masalah itu, muzium itu ditutup untuk keselamatan.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti yang diperbuat daripada kayu, mempunyai 99 tiang termasuk empat tiang seri dan keunikan istana yang dibina pada tahun 1902 dan siap pada tahun 1908 itu adalah ia tidak menggunakan sebarang paku besi.

Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti yang mempunyai empat tingkat ini telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib.

Acara hari ini turut menyaksikan majlis tandatangan dokumen projek itu diantara Isham dan Abdul Karim serta sijil penyerahan projek di antara Shamsudin dan Setiausaha Bahagian Pembangunan Prasarana, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Mohd Khairul Kasim.