Malaysia Dateline

Datuk Ibrahim Ali

Perkasa beri amaran agar Pastor Joshua jangan biadap pada umat Islam

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memberi amaran keras kepada Pastor Joshua Woo Sze Zeng agar tidak bersikap kurang ajar dan biadab dalam konteks menyentuh sensitiviti umat Islam dan agama Islam dalam negara ini.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, jika paderi itu masih berdegil, beliau akan tahu langit itu tinggi atau rendah.

Katanya, paderi itu tidak sepatutnya menafsirkan sesuka hati al-Quran Surah Al-Kafirun dengan terjemahan “Untukmu agamamu, dan untukku agamaku” bagi ayat 5 hingga 6.

Beliau berkata, maksud sebenar terjemahan ayat itu ialah “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat (5). Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat (6)”.

“Sebab penurunan ayat ini kerana pelawaan orang kafir atau musyrikin Quraish kepada Nabi Muhammad untuk menyembah tuhan (berhala) yang mereka sembah.

“Mereka hendak mengajak Rasulullah dan para sahabat untuk menyembah tuhan orang Musyrikin Mekah dalam waktu satu tahun, kemudian orang Musyrikin Quraish akan menyembah Allah selama satu tahun juga pada tahun berikutnya.

“Dari peristiwa itu, Allah kemudian menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad untuk menjawab pelawaan kaum Kafir berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Pastor Joshua dilaporkan mendakwa, al-Quran membenarkan golongan bukan Islam menyebarkan agama mereka kepada umat Islam, namun perundangan Malaysia menjadi batu penghalang.

Kenyataan itu disiarkan sebuah portal dalam talian bertajuk: “al-Quran benarkan kafir murtadkan umat Islam – Ahli Majlis DAP”.

Menurut Dr. Ibrahim, umat Islam perlu mengambil sikap berhati-hati terhadap Pastor Joshua kerana beliau juga bergiat aktif dalam politik DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, paderi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Divinity daripada Trinity Theological College di Singapura itu memang terdidik dan terlatih dalam evangelisme serta pendakyahan Kristianiti.

“Beliau adalah ahli gerakan dakyah Kristian antarabangsa, World Reformed Fellowship (WRF) dan pernah berkhidmat sebagai pendakyah agama Kristian serta mengetuai program latihan bagi kader-kader penggerak evangelisme dan dakyah Kristian daripada pelbagai gereja di Singapura dan rantau Asia Tenggara dan Asia-Oceania.

“Joshua juga terbabit dalam politik di Malaysia sebagai pegawai khas Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ahli Majlis DAP bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai dalam masa yang agak singkat,” katanya.

Kata Ibrahim lagi, Joshua cuba mengelirukan terjemahan ayat 5 dan 6 surah Al-Kafirun bertujuan untuk menghalalkan usaha mereka memurtadkan orang Islam sebagaimana penegasan paderi itu bahawa penganut Kristian sepatutnya perlu dibenarkan untuk berdakyah kepada umat Islam Malaysia kerana itu adalah tuntutan agama mereka.

“Ini adalah pembohongan yang nyata. Dalam konteks Malaysia, hak bukan Islam untuk berdakyah kepada umat Islam sememangnya tidak dibenarkan.

“Ini dengan jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apakah beliau buta (Perlembagaan Persekutuan) atau tidak pernah membacanya? Perlembagaan Persekutuan membenarkan menganut dan mengamalkan agama masing-masing (Artikel II (1), Perlembagaan Persekutuan).

“Tetapi terdapat larangan penyebaran dan pendakyahan agama selain Islam kepada orang Islam (Artikel II (4), Perlembagaan Persekutuan).

“Kenapa Joshua masih berdegil tidak mahu memahami perlembagaan dan membawa tafsiran yang salah pula mengenai ayat al-Quran seperti yang dinyatakan itu? Beliau juga sepatutnya tidak mempertikaikan hak umat Islam untuk berdakwah terhadap golongan bukan Islam kerana Islam adalah agama Persekutuan,” ujar beliau.

Jelas Dr. Ibrahim, sekiranya ajaran al-Quran mengenai saling menghormati amalan agama dipenuhi, tentulah hak golongan bukan Islam untuk berdakyah kepada umat Islam dipertahankan sebagaimana hak orang Muslim untuk berdakwah kepada Kristian dipertahankan.

“Inilah padahnya apabila umat Islam berdiam diri, orang kafir akan mula naik tocang dan tidak sedarkan diri.

“Apabila mereka bercakap seolah-olah mereka lebih tahu mengenai al-Quran dan agama Islam, petandanya mereka sedang bersungguh-sungguh untuk mengharu-birukan Islam dan umat Islam,”katanya.

Sebelum ini, Joshua pernah menimbulkan masalah apabila menulis dalam blognya, menuduh sistem pendidikan negara sendiri sebagai ancaman bagi agama Islam, di samping menyenaraikan pelbagai hujah termasuk daripada hadis Nabi yang membenarkan umat Islam untuk murtad tanpa dijatuhkan sebarang hukuman.

Beliau berharap kenyataan dan penjelasannya itu tidak disalah faham atau dijadikan isu serta polimik kecam mengecam kerana Perkasa menjalin hubungan baik dengan Gerakan Kristian untuk Perdamaian dan Harmoni di Malaysia (CPHM) terutama Pastor dan Bishop.

Katanya, Perkasa mahu kekalkan keharmonian, tetapi pada masa sama mengingatkan pihak tertentu jangan melakukan provokasi dan hormatlah Perlembagaan serta undang-undang negara.