Malaysia Dateline

Datuk Ibrahim Ali

Perkasa desak Kerajaan tubuh RCI siasat kes kematian Muhammad Adib

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mendesak dan memberi tempoh 48 jam kepada kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia perlu bagi mengenalpasti pembunuh terlibat yang menyebabkan Muhammad Adib parah diserang dalam kejadian rusuhan kuil hingga meninggal dunia malam tadi selepas tiga minggu menerima rawatan.

Menurutnya, ia sekaligus bagi memberi hukuman setimpal kepada mereka yang bertanggungjawab di atas kejadian itu.

Katanya, kerajaan perlu menubuhkan RCI demi keadilan Allahyarham Muhammad Adib sama seperti mana ketika siasatan kes kematian mendiang Teoh Beng Hock.

“Perkasa desak kerajaan tubuh segera prosiding RCI dalam tempoh 48 jam untuk jalankan siasatan dan cari siapa pembunuh Muhammad Adib. Tiada alasan untuk kerajaan menolak penubuhan RCI.

“Mereka yang bertanggungjawab mesti terima hukuman setimpal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, jika kes berlaku kepada orang bukan Melayu pastinya riuh-rendah desakan untuk menubuhkan RCI.

Justeru, beliau berharap nasib Allahyarham Muhammad Adib dapat dibela dengan penubuhan RCI tersebut.

Sebelum itu, Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi.

Katanya, seluruh warga Perkasa turut bersedih atas kematian Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga sabar menerima dugaan dan ketentuan ALLAH,” katanya lagi.

Dalam kejadian pada 27 November lalu  Muhammad Adib  parah dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya dilapor meninggal dunia 9.41 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN)..