Kerajaan Negeri Johor hari ini mencadangkan agar memperkasakan kelengkapan peralatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor untuk mereka mempersiapkan diri menghadapi kebakaran khususnya yang melibatkan tanah gambut.
Dalam pertemuan dengan Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia, Dzulkefly Ahmad berkata, perkara itu menjadi penting apabila tinjauan yang dibuat beliau mendapati beberapa kelengkapan peralatan anggota bomba tidak mencukupi bagi memadamkan kebakaran ditanah gambut khususnya.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memberi fokus kepada penyediaan kelengkapan JBPM untuk menghadapi sebarang musibah yang akan berlaku berlaku. Sebahagian besar tanah di sebelah barat negeri Johor adalah merupakan tanah jenis gambut.
“Dalam tinjauan saya melihat pihak JBPM memadamkan kebakaran, saya mendapati terdapat beberapa kelengkapan peralatan tidak lengkap seperti All Terrain Vehicle (ATV) Motorcycle, Excavator, High Volume High Pressure Water Pump dan pelbagai lagi perkara yang perlu diberikan perhatian.
Beliau yang merujuk kepada kebakaran 40 ekar hutan tanah gambut di Kampung Pekajang, Gelang Patah Johor baru-baru ini mendakwa bahawa terdapat tugas JBPM yang menjadi tergendala akibat kekurangan kelengkapan peralatan tersebut.
Sementara itu beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan mengenal pasti punca air ke atas tempat-tempat berpontensi untuk berlaku kebakaran.
“Memang kita akui tanah gambut adalah kawasan yang mudah terbakar apabila musim panas tiba terutama ketika pergerakan angin monson Barat Daya. Justeru itu kerajaan akan mengenal pasti langkah-langkah bagi mendapatkan sumber air atau punca air alternatif di kawasan berkenaan.
“Sekiranya tempat yang jauh dari kawasan punca air seperti sungai dan laut, kita akan mengenal pasti pula punca air seperti air bawah tanah untuk menjadi sumber JBPM mendapatkan bekalan air untuk memadamkan kebakaran ataupun membina fire-breaker dalam bentuk parit berair,” katanya lagi.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada JBPM serta semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam membantu memadamkan kebakaran yang berlaku di Kampung Pekajang baru-baru ini.
Menurut maklumat yang diperolehi, kebakaran di Kampung Pekajang tersebut telah berjaya dipadamkan sepenuhnya dan pejabat operasi JBPM secara rasminya telah ditutup pada Isnin 2 September 2019 yang lepas. Jika ada kebakaran yang berlaku selepas ini Balai Bomba Kota Iskandar akan mengambil tindakan selanjutnya.