Perkasa lapor polis, RoS  dakwa hubungan Umno dengan CPC

Perkasa lapor polis, RoS dakwa hubungan Umno dengan CPC

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) akan menghantar surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai Umno dan MCA yang didakwa mempunyai hubungan dengan Parti Komunis China (CPC).

Presiden Datuk Ibrahim Ali berkata, pihaknya juga akan menghantar surat kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi mengetahui sama ada parti politik dibenarkan mempunyai kerjasama dengan CPC.

“Kita tergamam sebab Parti Komunis China (CPC) yang berkaitan idealogi komunis ada kerjasama dengan Umno.

“Kita dah lama menghadapi komunis di Malaya sehingga banyak nyawa terkorban.

“Esok kita akan hantar surat dengan pihak berwajib dan kita nak tanya dari segi dasar yang membenarkan kerjasama dengan CPC, adakah kerajaan tidak ambil kira gerakan yang tentang parti komunis dulu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Perkasa di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun Ibrahim berkata beliau tidak tahu apakah bentuk hubungan antara Umno dan CPC.

Ibrahim berkata, kerjasama seumpama itu sekiranya ada mungkin mendorong kehadiran kumpulan pengganas seperti Al-Qaeda dan Islamic State (IS).

“Pada PERKASA kita tak tolak kemungkinan fahaman ideologi komunis akan diserap dan ia akan bahayakan negara

“Mungkin pihak lain seperti parti dan NGO akan adakan kerjasama dengan IS dan Al-Qaeda (pula) oleh sebab pihak lain ada hubungan dengan CPC,”jelasnya.

Semalam, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA Datuk Seri Ti Lian Ker membidas Perkasa kerana membisu berhubung tindakan Umno menjalin pertalian dengan CPC, tetapi sebaliknya menyelar MCA kerana berbuat demikian.

Ti turut mengingatkan Perkasa bahawa Umno menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CPC lebih awal menerusi Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 4 Ogos 2010 seperti dilaporkan Malaysiakini hari ini.

COMMENTS

Wordpress (0)