Perkasa mahu kerajaan tegas pertahankan dasar pendidikan, tidak layan tuntutan Dong Zong

Perkasa mahu kerajaan tegas pertahankan dasar pendidikan, tidak layan tuntutan Dong Zong

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu kerajaan bersikap tegas dan tidak melayan tuntutan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah China (Dong Zong) yang membantah pengenalan tulisan Jawi dan Seni Khat di sekolah vernakular.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kerajaan tidak perlu melayani perkara tidak sepatutnya dan perlu mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Kita serahkan (segalanya) kepada kerajaan. Mana yang baik kita terima. Tapi (tak akan terima) mana yang betul-betul bertentangan dengan dengan dasar prinsip-prinsip pendidikan bangsa, apatah lagi menyentuh perlembagaan 153.

“Kita mendesak kerajaan bersikap tegas, layan perkara yang patut tapi pertahankan Dasar Pendidikan Nasional dan dasar 153 (kedudukan istimewa orang Melayu).

“Kita tidak menentang dan sudah terima kewujudan sekolah-sekolah bahasa ibunda, sekolah vernakular. Baik Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang sudah menjadi sebahagian daripada dasar pendidikan nasional negara kita.

“Terpaksa kita telan walaupun pahit, kita orang Melayu tetap bertolak ansur walaupun kita mahu melihat satu dasar pendidikan nasional yang berteraskan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk tujuan perpaduan nasional,” katanya.

Beliau turut mengumpamakan tindakan pertubuhan gabungan cina itu ibarat sudah diberikan betis tetapi mahukan peha.

“Mereka boleh menuntut apa sahaja tetapi kita pula tak boleh lebih-lebih. (Mereka) seperti peribahasa bagi betis, nak peha.

“Baru-baru ini mereka berhimpun. Orang melayu berpeluk tubuh. Kalau saya menjerit (menyuarakan bantahan), mereka kata Perkasa rasis. Perkasa tak hormati mereka. Tetapi kalau kita berdiam diri, mereka akan ambil kesempatan,” ujarnya.