Malaysia Dateline

Perkasa pusat sehenti bantu mangsa keganasan rumah tangga

Keganasan rumah tangga yang melanda wanita dan kanak-kanak di negara ini adalah isu serius yang perlu ditangani secara tuntas oleh pemimpin yang menguruskan negara ini.

Angkatan Wanita Amanah (Awan) Negeri Kelantan kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff yang hanya memberikan tips keluarga bahagia tanpa menjelaskan apakah langkah-langkah yang dimainkan oleh kementeriannya dalam menangani kes keganasan rumahtangga terutama sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

Sesungguhnya dinamika keluarga yang harmoni dan bahagia begitu jauh bezanya dengan apa yang dialami wanita dan kanak-kanak yang hidup dengan keganasan.

Boleh kita bayangkan bagaimana keadaannya duduk 24 jam terkurung dengan orang yang melakukan kezaliman terhadap diri mereka. Mereka benar-benar memerlukan bantuan untuk keluar daripada kitaran keganasan.

Kenyataan bahawa semua panggilan ke talian 15999 sudah diambil tindakan tidak memadai. Masyarakat mahu tahu apakah tindakan tersebut telah dapat menyelesaikan masalah pemanggilnya khususnya dalam kes yang membabitkan kes penderaan terhadap wanita dan kanak-kanak.

Kenyataan rasmi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan laporan yang menyebut peningkatan kes keganasan rumah tangga dicatatkan melalui Talian Kasih 15999 .

KPWKM menegaskan bahawa 57 peratus panggilan tersebut merangkumi semua kategori termasuk panggilan berhubung wabak Covid-19, rujukan kes-kes bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kes kaunseling dan lain-lain.

Mengapa begitu cepat menafikan sedangkan di peringkat global risiko keganasan terhadap wanita sememangnya meningkat. Pandemik Covid-19 itu sendiri sememangnya boleh menjadi penyebab meningkatnya tekanan dalam kehidupan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres menggesa agar kerajaan seluruh dunia mengutamakan keselamatan wanita ketika melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Beliau menyebutkan dalam perutusan khasnya bahawa “Keganasan bukan sahaja berlaku di medan perang…” Bagi ramai wanita, ancaman itu wujud di satu-satu tempat yang sepatutnya melindungi mereka – di rumah sendiri,”

Garis Panduan Pengendalian Keganasan Rumahtangga yang dikeluarkan oleh KPWKM menunjukkan sudah banyak usaha untuk menangani isu keganasan rumahtangga di negara ini melalui pendekatan bersepadu antara pelbagai agensi kerajaan dan juga kerjasama strategik dengan Badan bukan kerajaan atau NGO.

Teras keutamaannya mestilah dalam mengimbangi antara usaha pencegahan dalam memberi kesedaran dan pendidikan dan perawatan dan pemulihan terhadap mangsa dan pemangsa.

Namun realitinya masih terdapat jurang yang besar antara apa yang dirancang dengan apa yang berlaku dalam masyarakat. Keganasan rumahtangga merupakan sesuatu kecemasan bagi mangsa dan memerlukan satu perlindungan dan pembelaan daripada pihak berkuasa.

Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa kebanyakan mangsa sudah mengalami keganasan untuk tempoh yang lama sebelum beroleh kekuatan untuk tampil membuat pengaduan atas pelbagai faktor termasuk kebimbangan bila hilang tempat pergantungan.

Maka mangsa perlu dibantu untuk berani menghadapi cabaran dan mampu untuk berdikari dalam menghadapi situasi ketiadaan pendera yang menjadi tempatnya bergantung hidup.

Justeru, AWAN Negeri Kelantan menggesa agar pihak menteri dan KPWKM menumpukan perhatian untuk:

Memperkasa semua Pusat Krisis Sehenti (One Stop Crisis Centre) di seluruh negara agar setiap unit mewakili semua agensi terlibat boleh berfungsi dengan baik bagi membantu mangsa keganasan.

Perancangan yang baik di mana mangsa keganasan akan mendapat semua perkhidmatan yang diperlukan di Jabatan Kecemasan Hospital tidak semestinya berlaku dalam realitinya dalam keadaan sumber manusia dan kewangan negara yang terhad.

Kerajaan mesti meningkatkan kuantiti dan standard rumah perlindungan mangsa keganasan rumahtangga di negara ini. Buat masa ini Malaysia hanya mempunyai satu pusat perlindungan wanita untuk setiap 72,538 penduduk jauh dari sasaran amalan terbaik antarabangsa yang menyarankan minima satu pusat perlindungan wanita bagi setiap 10,000 penduduk.

Selagi ini belum tercapai kerajaan mesti memberikan bantuan kepada Pusat Perlindungan milik NGO seperti Pusat Perlindungan Mangsa Keganasan Rumahtangga yang diusahakan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Rumah Teratai milik Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam.

Kerajaan bukan sahaja mesti bertanggungjawab kepada semua rakyatnya tetapi mesti dilihat bertanggungjawab terhadap semua rakyatnya termasuk golongan wanita dan Kanak-kanak.

* Penulis ialah Ketua AWAN Negeri Kelantan.