Malaysia Dateline

Perkasakan badan sedia ada, perlukah Suruhanjaya Patuh Syariah?

Dalam ucap utamanya di Syarahan Perdana Tun Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, Perdana Menteri mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya yang dinamakannya sebagai Suruhanjaya Patuh Syariah bagi tujuan, antara lain, menyusun atur (regulate) industri halal di negara ini.

Mantan Menteri, Tan Sri Rafidah Aziz dilaporkan tidak bersetuju dengan idea tersebut. Bagi beliau, kewujudan suruhanjaya itu tidak diperlukan dan ianya hanya sebuah pembaziran dana awam.

Tan Sri Rafidah juga berpendapat bahawa pada masa ini sudah ada beberapa badan yang telah pun ditubuhkan oleh Kerajaan sebelum ini yang juga mempunyai misi dan objektif yang hampir sama. Malangnnya, badan-badan itu dilihat tidak begitu berfungsi dengan berkesan.

Jujurnya, agak sukar untuk tidak bersetuju dengan pandangan jitu Tan Sri Rafidah. Bagi saya, beliau begitu jujur memberi pandangannya yang ikhlas sesuai dengan pengalaman panjangnya mengemudi Kementerian Perdagangan Luar Negeri suatu masa dahulu.

Mungkin ada pihak yang tidak suka dengan beliau, namun amat susah untuk menolak pandangan bernasnya itu.

Saya sendiri amat bersetuju dengan pandangan Tan Sri Rafidah. Saya berpandangan tidak perlulah Gomen Tebuk Atap terus menerus terjebak dalam kegiatan membazirkan dana awam apa lagi pada waktu kritikal seperti sekarang ini.

Gomen Tebuk Atap tentu sedar bahawa ekonomi negara sudah sedia teruk dihimpit oleh pandemik Covid-19 – yang hampir melumpuhkan negara dan rakyat – dan sebelumnya ekonomi juga teruk diganyang oleh si penjenayah kleptokrat yang kini disanjung ibarat seorang wira. Takkan gomen tebuk atap tak nampak semua itu?

Dan mengapa gomen tebuk atap kini masih bernafsu untuk terus-menerus membazirkan wang rakyat?

Kerajaan masih bernafsu untuk terus-menerus bazirkan wang rakyat.

Ya, cadangan yang ada elemen syariah di dalamnya sudah tentu sedikit sebanyak akan dieksploitasi semaksimum mungkin untuk menaikkan imej dan reputasi PM dan Umno khususnya dalam kalangan para pengundi Melayu /Islam.

Ramai melihat kepimpinan PM sekarang terlalu lemah. Beliau kelihatannya tidak memiliki gengsi! Sambutan yang diberi kepadanya baru-baru ini selepas balik dari Amerika memeningkan ramai pihak sehingga ada yang bertanya, adakah kejayaan lawatannya itu kerana dia dapat bersalam dan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan Joe Biden?

Sudah tentu, dalam masa yang sama, para pengkritik kepada idea Perdana Menteri itu akan mudah dilabel sebagai “anti syariah” atau “anti Islam”.

Dalam negara yang berselirat dengan golongan yang rasa mereka itu insan suci dan kudus, maka, sudah tentu tidak susah untuk seseorang itu dilabel dan diberi cop tertentu dalam isu sebegini.

Malangnya, kerana ketaksuban depa yang terlalu pekat, agak sukar untuk depa melihat dan menilai bahawa apabila kita bercakap tentang kepatuhan syariah itu, antara lain, ia juga merangkumi mengelakkan budaya pembaziran apa lagi pembaziran wang rakyat atau dana awam dalam tindakan kita.

Atas dasar itu, dalam persekitaran yang patuh syariah misalnya, mungkin sukar untuk membayangkan misalnya senario di mana ada pemimpin yang bergaya seperti peragawan fesyen dengan memakai pakaian yang harganya beribu ringgit!

Penubuhan sebuah suruhanjaya baharu bermakna gomen perlu gubal undang-undang baharu seterusnya membawa kepada perlunya pelantikan sejumlah kakitangan awam baharu untuk melakukan kerja-kerja pengoperasian suruhanjaya yang baharu itu.

Dalam bahasa mudahnya, gomen kena menyuntik wang rakyat kepada badan baru itu. Setiap tahun akan diluluskan belanjawan yang mungkin cecah sama ada jutaan atau bilion untuk suruhanjaya itu beroperasi.

Itu semua akan menggunakan wang pembayar cukai, ya ,wang kita semua yang diambil dari Dana Wang Yang Disatukan (A Consolidated Fund).

Menurut Tan Sri Rafidah, pada masa ini, telah pun ada misalnya badan seperti “Halal Develpoment Corporation” yang ditubuhkan pada 2006 antara lain bertanggungjawab “regulate” industri halal di negara ini.

Mengapa tidak gomen tebuk atap cukup sekadar memperkasakan badan tersebut daripada membazir wang negara bagi menubuhkan sebuah suruhanjaya ?

Adalah tidak wajar dan pelik sekiranya sebuah badan yang dikatakan mematuhi syariah ingin ditubuhkan sedangkan sejak awal idea penubuhan itu berpotensi membawa gomen tebuk atap kepada amalan yang tidak patuh syariah iaitu pembaziran dana awam!