Perkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden, kata Eddin Syazlee

Perkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden, kata Eddin Syazlee

Bahasa Melayu perlu berkembang seiring dengan perkembangan sains dan teknologi agar mampu menjadi bahasa ilmu pengetahuan moden, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith.

“Bahasa Melayu perlu berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras bahasa, istilah dan perbendaharaan kata,” katanya ketika berucap merasmikan program Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu: Bahasa Melayu Kembali ke Akar,di Seremban hari ini, lapor Bernama.

Katanya ini kerana dalam era teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), bahasa Melayu dilihat berdepan cabaran sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan negara kerana perlu bersaing dengan bahasa Inggeris yang digunakan secara meluas dalam ICT di seluruh dunia.

“Hal ini kerana Internet dan pengeluar perisian serta perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell dan Hewlett-Packard semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa Inggeris.

“Tambahan pula kita sekarang berada dalam era Revolusi Industri Keempat. Hal ini menyebabkan bidang teknologi pengeluaran telah berubah dan berada dalam arena yang baharu dan cabaran ini perlu disambut ahli akademik untuk memastikan bahasa Melayu boleh dan mampu menyesuaikan peranannya dalam menghadapi cabaran ini,” katanya.

Bagi membantu perkembangan bahasa Melayu, Eddin Syazlee menggesa media memainkan peranan dengan menjadi contoh kepada masyarakat termasuk warga asing menerusi penguasaan bahasa Melayu yang baik.

“Memandangkan media cetak seperti akhbar dan majalah mendapat tempat dalam kalangan pembaca, sewajarnya media menjadi saluran penting untuk mendidik pembaca menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

“Hindarkan daripada menggunakan bahasa rojak dan menyimpang daripada tatabahasa sehingga boleh merosakkan bahasa Melayu,” katanya.

Beliau turut menyeru ilmuwan di universiti awam dan swasta serta institusi pendidikan lain agar memperbanyak penerbitan buku ilmiah dalam bahasa Melayu yang pada masa ini masih belum mencukupi untuk menjadi bahan rujukan utama masyarakat.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Pengarah Institut Pendidikan Guru Raja Melewar Dr Nizam Abd Latib dan Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.