Perkasakan IBS untuk kawal harga hartanah, saran Pemuda AMANAH

Perkasakan IBS untuk kawal harga hartanah, saran Pemuda AMANAH

Pemuda AMANAH Nasional menyambut baik hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang akan melancarkan Dasar Perumahan Negara (DPN) pada akhir tahun ini yang bertujuan membantu memudahkan proses pinjaman dan perundangan untuk rakyat memiliki kediaman sendiri.

Namun begitu, kerajaan perlu sedar bahawa pemilikan perumahan yang tidak berhemah dengan memudahkan proses pinjaman perumahan adalah bukan langkah tepat dalam menyelesaikan isu pokok penawaran harga rumah yang di luar kemampuan pendapatan rakyat serta kuantiti rumah mampu milik (RMM) yang rendah.

Demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda AMANAH, Mohd Ammar Atan dalam satu kenyataan.

Kata beliau, usaha menurunkan harga pasaran perumahan khususnya bagi pasaran RMM mesti menyelesaikan kos pembinaan yang tinggi seperti kos bahan binaan, pekerja, pematuhan (compliance cost) dan tanah yang boleh mencecah sehingga 80% daripada harga rumah.

“Laporan Bank Negara Malaysia jelas menyatakan bahawa kediaman yang tidak terjual adalah 83% berada dalam kategori harga melebihi RM250,000 dan ini berpunca oleh ketidakpadanan harga perumahan baharu dengan harga yang mampu dibayar oleh isi rumah.

“Pemuda AMANAH Nasional percaya bahawa usaha mengurangkan kos projek perumahan mampu milik, dapat dilakukan dengan menerima pakai kaedah pembinaan Industrial Building System (IBS) yang lebih canggih dengan mengumpulkan sumber di bawah satu entiti tunggal dan mengurangkan kos pematuhan untuk projek perumahan mampu milik,” jelas beliau.

Katanya lagi, negara-negara seperti Singapura, India dan Hong Kong berjaya mencatat kemajuan dalam hal ini melalui inovasi teknologi, dan menetapkan standard reka bentuk perumahan menerusi penggunaan kod bangunan seragam yang telah membantu memperluas amalan tersebut.

Singapura jelasnya, berjaya mengurangkan kos pembinaan keseluruhannya dengan menerima pakai Industrialised Building Systems (IBS) secara meluas, yang menghasilkan penjimatan kos pekerja melebihi 45% berbanding dengan kaedah konvensional.

“Menurut hasil tinjauan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang dikeluarkan pada tahun lepas menunjukkan, penggunaan sektor swasta masih rendah pada sekitar 15%, sementara projek-projek kerajaan melihat penerimaan lebih tinggi pada 70%.

“Untuk menurunkan harga pasaran RMM secara signifikan, kerajaan perlu memimpin dalam mempromosikan model IBS dengan mewujudkan pembangunan skala ekonomi atau ‘economics of scales’ agar ia dapat bersaing secara kos efektif dan dalam volum yang tinggi.

“Tanpa skala ekonomi, penggunaan IBS terus menjadi rendah dan tidak akan mampu menurunkan harga bagi RMM secara skala besar,” tambah beliau.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu meletakkan dasar yang jelas akan aplikasi IBS secara meluas dalam Dasar Perumahan Negara yang akan dilancarkan kelak.

Ini ujarnya, penting agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengulangi kegagalan kerajaan sebelum ini yang gagal mencapai matlamat RMM dan seterusnya mampu mencapai agenda satu keluarga satu rumah.

CATEGORIES