Perkasakan sistem Mahkamah Syariah bukan hukuman

Perkasakan sistem Mahkamah Syariah bukan hukuman

Usaha perlu dilakukan untuk memperkasakan sistem dan prasarana Mahkamah Syariah bagi memastikan keadilan ditegakkan daripada menambah kadar hukuman kerana sistem yang lemah dan pincang dikhuatiri akan mengakibatkan berlaku kezaliman dan Mahkamah Syariah akhirnya tidak diyakini umum.

Pengerusi Perkim Wilayah Persekutuan Datuk Nakhaei Ahmad berkata, pelaksanaan syariat Islam perlu dibuat berdasarkan keutamaan bagi memastikan aspek keadilan tertegak.

Sebagai contoh, jelas beliau di saat hukum jenayah Islam khususnya hukum hudud dijadikan satu keutamaan, aspek yang sering ditinggalkan oleh mereka yang menonjolkan isu ini adalah ‘keadilan’.

“Semua hukum yang dijalankan itu tertakluk kepada syarat utama iaitu menegakkan keadilan.

“Dalam hal ini, walaupun yang hendak dilaksanakan itu hukum jenayah Islam – sama ada hukum hudud atau bukan hukum hudud – ia hendaklah dipastikan dilaksanakan secara adil.

“Ini kerana dengan terang dan jelas Allah murka kepada orang yang melakukan kezaliman walaupun kezaliman itu dalam melaksanakan hukum syariah. Ertinya hukum syariah yang dilaksanakan secara zalim tetap mendapat kemurkaan Allah,” tegasnya dalam wawancara dengan Malaysia Dateline.

Sehubungan itu beliau menyarankan agar ‘paksi keadilan’ itu disempurnakan terlebih dahulu yang merangkumi aspek prasarana dan sistem keadilan.

Beliau menyifatkan sistem keadilan yang diamalkan dalam Mahkamah Syariah kini “terlalu jauh daripada sempurna”.

“Soal nikah cerai pun tak selesai lagi. Tidak betul-betul melaksanakan keadilan. Bagaimana nak laksanakan sebat sampai 100 kali?

“Sistem keadilan harus diperbaiki dan jangan tergesa-gesa nak bagi kuasa yang luas kepada Mahkamah Syariah sedangkan paksi keadilan dalam Mahkamah Syariah itu tidak lengkap. Ini sudah tentu akan mengakibatkan kezaliman dalam hukum syariah,” tegasnya lagi.

 

COMMENTS

Wordpress (0)