Malaysia Dateline

Perkataan koperasi pada nama kementerian satu pengiktirafan, kata Angkasa

Penambahan perkataan koperasi pada nama Kementerian Pembangunan Usahawan merupakan satu pengiktirafan kepada gerakan koperasi yang juga merupakan penyumbang kepada pembangunan sosioekonomi rakyat.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah dalam satu kenyataan berkata langkah penjenamaan semula itu adalah seiring dengan perjuangan Angkasa bersama-sama gerakan koperasi untuk mengukuhkan jenama dan mengangkat martabat koperasi.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini menyatakan ia telah dijenama semula sebagai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) selaras dengan inisiatif kerajaan memperkasa gerakan koperasi.

Abdul Fattah berkata pihaknya menyambut baik dan menyokong penuh penjenamaan semula nama kementerian itu, sekali gus memperkasa dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi 14,247 koperasi yang dianggotai 6.1 juta orang bagi mencapai sasaran sumbangan gerakan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

— BERNAMA